Dagangan Scomi Group akan digantung 20 April, selepas permohonan ditolak Bursa Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan Scomi Group akan digantung 20 April, selepas permohonan ditolak Bursa Securities

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 April - Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities) menolak permohonan Scomi Group Bhd. untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan pelan penyusunan kumpulan. 

 

Berikutan penolakan itu, dagangan syarikat yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu akan digantung berkuat kuasa 20 April 2022, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ini akan diikuti dengan nyahsenarai dari bursa pada 22 April 2022, kecuali ia mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities sebelum 18 April. 

 

"Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh itu tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities," katanya. 

 

Sekiranya syarikat mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities dalam tempoh tersebut, nyahsenarai sekuriti daripada Senarai Rasmi Bursa Securities pada 22 April 2022 akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

 

"Namun, dagangan syarikat akan tetap digantung pada 20 April, walaupun keputusan rayuan masih belum selesai," tambahnya.

 

Pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021, kerugian bersih Scomi susut kepada RM7.19 juta daripada RM5.53 juta bagi tempoh sama tahun lalu.  

 

Ini menjadikan kerugian bersih bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021, meningkat kepada RM14.42 juta daripada RM10.96 juta. - DagangNews.com