KUALA LUMPUR 18 Mei - Sektor industri terpaksa menanggung kerugian dengan jangkaan lebih RM3 bilion sehari jika cuti umum diisytiharkan tanpa perancangan dan dibuat secara mengejut.
Menurut laporan Berita Harian hari ini, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata pengumuman cuti sedemikian membimbangkan berikutan ia boleh menyebabkan kerugian besar terhadap pendapatan dan produktiviti industri.
"Kerugian nilai tambah perkilangan sehari adalah sekitar RM1 bilion, tidak termasuk gaji. Gaji sehari sektor swasta perlu bayar adalah RM700 juta. Jika pengisytiharan cuti umum, ini bermakna syarikat perlu membayar tiga kali ganda iaitu lebih RM2 bilion.
"Maka, ditambah dengan kerugian nilai termasuk pembuatan mungkin kerugian melepasi RM3 bilion setiap hari," katanya yang hadir di Forum Ekonomi Nasional 2023 anjuran NCCIM hari ini.

Thian Lai menegaskan, hanya mahu cuti umum yang sudah diwartakan dan bukannya pengisytiharan cuti umum tanpa perancangan dan mengejut.
Katanya, pengumuman cuti umum tanpa perancangan dan mengejut sememangnya menjejaskan perkilangan dan perkhidmatan lain.
"Fokus tugas kerajaan adalah memajukan ekonomi dan menjalankan pentadbiran kerajaan (dan) bukannya mengumumkan cuti umum," katanya.
Antara cuti umum yang diisytiharkan secara mengejut sebelum ini termasuk kelepasan am tambahan semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. -DagangNews.com








