Credit Suisse mulakan liputan terhadap Farm Fresh dengan TP RM2.10, saranan 'outperform' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Credit Suisse mulakan liputan terhadap Farm Fresh dengan TP RM2.10, saranan 'outperform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 April - Credit Suisse memulakan liputan terhadap Farm Fresh Bhd. dengan pandangan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham. 

 

Menurut penganalisisnya, Joanna Cheah, harga sahamnya setakat ini telah menokok 29% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.35.

 

Katanya, sebagai saham pengguna, ia mempunyai ciri-ciri yang agak defensif, namun, menawarkan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang tinggi.

 

Firma itu mendapati saham pengguna patuh syariah yang dikendalikan dengan baik di Malaysia, cenderung untuk didagangkan pada premium, mungkin disebabkan oleh faktor kekurangan.

 

"Dengan membandingkan penilaian Farm Fresh dan pemain industri yang lain, kami turut mendapati ia didagangkan premium pada 31.7x nilai perusahaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) berbanding pemain domestik pada 29.4x dan serantau, 19.6x.

 

"Bagaimanapun, keuntungan bersih Farm Fresh diunjurkan berkembang pada kadar yang pantas sebanyak 32% setahun antara FY21 dan FY23, berbanding pertumbuhan purata pemain domestik sebanyak -7% dan pertumbuhan purata pemain serantau sebanyak 15%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan itu mencatatkan prestasi cemerlang pada penyenaraian sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 22 Mac lalu apabila dibuka RM1.70, premium 35 sen berbanding harga tawaran RM1.35.

 

Ia adalah penyenaraian terbesar di Bursa Malaysia sejak Jun 2021 dengan permodalan pasarannya RM2.5 bilion.

 

Pada pembukaan dagangan sulung syarikat yang turut dimiliki Khazanah Nasional Bhd itu, sebanyak 27.2 juta saham didagangkan.

 

Farm Fresh mengendalikan 5 ladang tenusu di Malaysia dan 1 ladang tenusu di Australia, merentasi 2,160 hektar tanah, dengan jumlah saiz kumpulan sekitar 9,960 lembu tenusu dan lembu jantan.

 

Setakat September 2021, ia menguasai bahagian pasaran kedua terbesar sebanyak 18% dalam kategori susu RTD.

 

Bagi susu RTD sejuk, penguasaan pasaran Farm Fresh telah berkembang kepada 42% (daripada 12% pada 2015), manakala dalam ambien, ia mempunyai bahagian 10%, setelah hanya memasuki pasaran pada 2018.

 

Menurut Joanna, rangkaian pengedarannya yang unik merupakan antara faktor utama membantu melonjakkan penguasaan Farm Fresh dalam pasaran. 

 

"Pada FY21, saluran pemasaran ini menyumbang 34% daripada hasil, dan menjadi saluran pengedaran paling pesat berkembang, membantu menembusi kawasan luar bandar dan mendapat akses terus kepada risikan pengguna, yang sebaliknya tidak boleh diakses.

 

"Perolehan kontrak baru-baru ini untuk membekalkan susu ke sekolah juga akan memainkan peranan penting dalam mengembangkan rangkaian pengedarannya," jelasnya.

 

Sehubungan itu, beliau menganggarkan keuntungan normal Farm Fresh berkembang pada Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 31% antara FY21 dan FY24, bersandarkan kepada pertumbuhan hasil, pengembangan margin dan ketiadaan operasi Australia yang tidak menguntungkan.

 

Kumpulan juga, katanya, telah mengambil 2 pusingan kenaikan harga purata jualan (ASP) pada 2021 untuk mengimbangi tekanan kos yang semakin meningkat, manakala 2 pelancaran produk utamanya pada 2022 (Yarra oleh Farm Fresh dan susu cair) dijangka menyokong pertumbuhan volum jualan selanjutnya.

 

"Untuk memenuhi permintaan yang kukuh ini, Farm Fresh sedang mengembangkan kapasiti pengeluaran pertengahannya, yang kami anggarkan akan meningkat sebanyak 48% antara FY21 dan FY24," tambahnya.

 

Setakat 12.23 tengah hari ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.12% kepada RM1.76 dengan 1.31 juta saham diniagakan. - DagangNews.com