KUALA LUMPUR 7 Dis - Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Complete Human Network (CHN) sebagai sebahagian daripada visi MYStartup bagi menyediakan syarikat permulaan untuk pertumbuhan dan skala.
Kerjasama ini menjadi titik permulaan MYStartup menawarkan inisiatif tertumpu kepada pembangun dan menyediakan perkakasan mampu milik dan pensijilan iOS di bawah Akademi Pembangun iOS kepada komuniti pembangun tempatan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, pihaknya berbesar hati perkongsian antara Cradle dan CHN dalam memulakan visi MYStartup membawa Akademi Pembangun iOS ke Malaysia.
Beliau berkata, mereka berharap melalui kerjasama ini dapat menyediakan asas yang kukuh dalam pembangunan aplikasi untuk komuniti MYStartup.
"Akademi bukan semata-mata tentang mempelajari asas pembinaan aplikasi, tetapi sebaliknya tentang memecahkan halangan dan menggalakkan usahawan keluar dari zon selesa dan melangkah ke hadapan dalam kerjaya permulaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CHN, Teh Chai Peng berkata, ia adalah bahagian penting dalam rancangan mereka untuk memberi inspirasi, membina dan menyokong pemimpin masa depan, pembangun dan usahawan Malaysia.
"Dengan akademi ini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik sebagai hab Asia Pasifik dan global untuk membina bakat iOS," katanya.
Disaksikan oleh Apple Inc., pemeteraian itu sebagai acara kemuncak utama anjuran bersama Cradle dan CHN dengan tema ‘Membina Aplikasi Perniagaan Hebat dengan Mac’.
Acara itu termasuk seminar mengenai strategi pembangunan aplikasi terkini dengan penceramah jemputan daripada Apple Inc bercakap secara meluas mengenai nilai perniagaan aplikasi.
Ia turut menampilkan seminar eksekutif Apple tentang cara pembangun boleh menggunakan dan memanfaatkan perisian Apple untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat permulaan mereka dalam industri yang sentiasa berkembang.
MoU ini menandakan peristiwa penting penubuhan Program Akademi Pembangun iOS bermula pada 2023 yang mana syarikat pemula Malaysia akan mempunyai akses lebih besar kepada kursus dan maklumat pembangun dari seluruh dunia.
Melalui kerjasama CHN, Cradle berharap dapat memperkasakan syarikat pemula Malaysia dengan persediaan komprehensif dan asas kukuh, supaya boleh terus berkembang dalam ruang aplikasi pada masa hadapan. - DagangNews.com








