KUALA LUMPUR 23 Dis - Comintel Corporation Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Total Package Work Sdn. Bhd. meraih kontrak pembinaan rumah di Sungai Buloh, Selangor bernilai RM227.65 juta.
Kumpulan menerima surat anugerah daripada Mightyprop Sdn. Bhd. membabitkan pembinaan pangsapuri perkhidmatan dan kerja-kerja infrastruktur di Plot 9 Fasa 3 terdiri daripada blok setinggi 48 tingkat merangkumi 671 unit.
Ini termasuklah kemudahan seperti taman dan tangki air di atas bumbung, 27 unit ruang niaga, seunit substesen 11kv dan empat tingkat kawasan letak kenderaan.
"Kerja-kerja pembinaan ini akan bermula pada 30 Januari 2023 dan dijangka siap dalam tempoh 32 bulan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Comintel menjangkakan kontrak berkenaan akan memberi aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan dalam tempoh tiga tahun kewangan.
Kontrak ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat tetapi akan menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 hingga 2026. - DagangNews.com








