Co-opbank Pertama perkenal produk baharu Surat Jaminan-i CBP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Co-opbank Pertama perkenal produk baharu Surat Jaminan-i CBP

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 April - Co-opbank Pertama (CBP) hari ini memperkenalkan produk baharu iaitu Surat Jaminan-i CBP yang akan memberi manfaat kepada pelanggan koperasi, korporat, komersial dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, produk itu adalah instrumen patuh Syariah berdasarkan pada konsep wakalah, yang mana CBP akan menyediakan surat jaminan bagi pelanggan yang kemudiannya akan diberikan kepada Benefisiari Pelanggan.

 

"Sebarang tuntutan yang dikemukakan oleh Benefisiari Pelanggan, sekiranya berlaku kesalahan atau keingkaran dalam memenuhi perjanjian antara pelanggan dan benefisiari pelanggan, akan diselesaikan melalui dana yang diberikan oleh pelanggan semasa proses permohonan Surat Jaminan-i CBP.

 

"CBP berfungsi dan bertindak sebagai wakil pelanggan, pemegang amanah dana pelanggan serta pemudahcara bagi urusan penyelesaian tuntutan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Khairil Anuar berkata, bagaimanapun surat Jaminan-i CBP tidak boleh dipohon secara tunggal, sebaliknya perlu dipohon dan diproses bersama dengan skim pembiayaan korporat lain.

 

Katanya, menerusi produk terbaharu ini, ia dapat membantu mengekalkan pelanggan sedia ada CBP dan menarik perhatian pelanggan-pelanggan baharu CBP.

 

 

coop
Khairil Anuar Mohammad Anuar

 

 

"CBP sentiasa memperkenalkan produk-produk baharu yang diperlukan bukan sahaja untuk pelanggan individu tetapi juga pelanggan koperasi, korporat dan juga GLC," katanya. - DagangNews.com