Co-opbank Pertama lancar projek 'FIRST' untuk naik taraf sistem perbankan teras | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Co-opbank Pertama lancar projek 'FIRST' untuk naik taraf sistem perbankan teras

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) melancarkan projek 'Financial Islamic Reengineering System Transformation' (FIRST) untuk menaik taraf sistem perbankan terasnya.

 

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, projek FIRST ialah perbankan CBP yang telah dinaik taraf berorientasikan teknologi perbankan terkini bagi memberikan pengalaman perkhidmatan perbankan dalam talian yang mudah, cekap dan selamat kepada pelanggan.

 

“Projek ini dijangka mengambil masa selama dua tahun yang mengandungi tiga fasa bermula dari November 2022 sehingga Oktober 2024 dan fasa satu akan 'golive' pada 1 Julai 2023.

 

“Projek ini adalah penting untuk kesinambungan kelancaran pengoperasian CBP yang mementingkan dan menekankan kepada pendigitalan,” katanya pada majlis berbuka puasa dan pelancaran projek FIRST di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

 

Pada majlis sama turut dilancarkan program nilai teras institusi perbankan itu yang dikenali sebagai MYCBP.

 

“MYCBP ini akan dijadikan sebagai satu identiti untuk keseluruhan warga kerja CBP tanpa mengira pangkat dan juga jawatan.

 

“MYCBP merupakan satu akronim iaitu, mesra pelanggan, yakin dan beriltizam, cekap, berintegriti dan juga progresif,” kata Baharom.

 

Beliau turut mengatakan bahawa nilai teras ini perlu bagi memastikan warga kerja CBP mempunyai satu standard kompetensi yang sama untuk terus bergerak maju ke hadapan, lapor Bernama.

 

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh ahli lembaga CBP, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar dan juga ahli-ahli pengurusan kanan. - DagangNews.com