CGS-CIMB unjur stok minyak sawit Malaysia pada Oktober capai paras tertinggi sejak April 2019 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB unjur stok minyak sawit Malaysia pada Oktober capai paras tertinggi sejak April 2019

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia akan meningkat 7.5% bulan ke bulan dan 35.7% tahun ke tahun kepada 2.49 juta tan metrik setakat akhir Oktober 2022. 

 

Menurut firma itu, paras tersebut adalah tertinggi sejak April 2019, berikutan output minyak sawit mentah yang kembali pulih.

 

Katanya, data daripada kaji selidik yang dijalankan terhadap peladang mendapati pengeluaran minyak sawit mentah dijangka meningkat 3.2% bulan ke bulan dan 5.8% tahun ke tahun kepada 1.83 juta tan metrik pada Oktober disebabkan faktor musim. 

 

"Anggaran kami sebanyak 2.49 juta tan untuk paras stok minyak sawit pada Oktober adalah 15% melebihi purata sejarah 10 tahun Oktober sebanyak 2.16 juta tan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada masa sama, CGS-CIMB juga menjangkakan eksport minyak sawit Malaysia akan berkembang 7.4% bulan ke bulan dan 7.6% tahun ke tahun kepada 1.53 juta tan metrik pada Oktober berdasarkan kepada statistik eksport Intertek, SGS dan Amspec Malaysia. 

 

Eksport minyak sawit yang lebih kukuh dari Malaysia mungkin disebabkan oleh pengurangan harga minyak sawit mentah yang menarik berbanding minyak kacang soya.

 

Dalam pada itu, firma tersebut juga percaya dasar minyak sawit yang baharu di Indonesia akan mendorong pengeluar untuk meningkatkan eksport minyak sawit berikutan pengecualian levi.

 

Indonesia mengumumkan harga rujukan tetap minyak sawit mentah pada AS$771 satu tan metrik bagi tempoh 1 hingga 15 November 2022 (berbanding AS$714 satu tan metrik untuk tempoh 16 hingga 31 Oktober 2022). 

 

"Ini menjadikan cukai eksport minyak sawit pada AS$18 satu tan metrik (RM85.5 satu tan metrik) berbanding AS$3 satu tan metrik bagi tempoh 16 hingga 31 Oktober 2022. 

 

"Oleh itu, eksport minyak sawit mentah Indonesia kekal lebih kompetitif berbanding RM286 satu tan metrik di Malaysia (berdasarkan duti eksport 8% untuk minyak sawit mentah pada harga rujukan RM4,033 satu tan metrik untuk November)," jelasnya.

 

Menurut CGS-CIMB, harga minyak sawit mentah tempatan di Indonesia meningkat 22% kepada 12,878 rupiah per kilogram (RM3,756 satu tan metrik) pada 2 November daripada 10,530 rupiah per kilogram (RM3,201 satu tan metrik) pada 3 Oktober apabila Indonesia berjaya menormalkan inventori sawitnya pada akhir Ogos.

 

Katanya, kebimbangan terhadap pengeluaran minyak sawit yang lebih lemah akibat banjir di beberapa bahagian di Kalimantan turut menyokong harga komoditi itu.

 

"Dalam tempoh itu, harga minyak sawit mentah di Malaysia juga meningkat 21% kepada RM4,190 satu tan metrik didorong permintaan bagi aktiviti simpanan semula yang lebih kukuh dan sambutan perayaan, serta pengurangan harga yang lebih menarik berbanding minyak kacang soya sebanyak AS$535 satu tan metrik setakat 27 Oktober 2022.

 

"Pada masa sama, terdapat juga kebimbangan pemulihan bekalan minyak sawit mungkin terjejas secara negatif oleh situasi kekurangan buruh yang berterusan di Malaysia dan musim La Nina," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan harga minyak sawit akan diniagakan dalam julat antara RM3,500 hingga RM4,500 satu tan metrik pada November ini. - DagangNews.com