KUALA LUMPUR 25 Mei - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan Sime Darby Bhd. kepada 'pegang' dengan harga sasarannya juga dikurangkan kepada RM2.40 daripada RM2.55 sebelum ini susulan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Jun 2022 (FY22) yang dijangka lemah.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersihnya susut 18.67% pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 kepada RM244 juta, berbanding RM300 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 manakala pendapatan juga menurun 4.1% kepada RM10.57 bilion berbanding RM11.02 bilion.
Kumpulan merekodkan keuntungan yang lebih rendah pada suku berkenaan kerana perniagaan terasnya bagi segmen perindustrian dan permotoran di China dan Australasia terjejas akibat pandemik COVID-19.
Ini menyaksikan untung bersih bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mac 2022 susut 32.04% kepada RM825 juta daripada RM1.21 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 4.1% kepada RM31.78 bilion daripada RM33.14 bilion.
Firma penyelidikan itu menyifatkan prestasi kewangan Sime Darby bagi tempoh 9 bulan itu adalah tersasar daripada jangkaannya pada 67% dan 68& anggaran konsensus Bloomberg disebabkan pendapatan perindustrian yang lebih lemah daripada jangkaan.
"Sehubungan itu, kami melihat prospek suku keempat yang bercampur-campur bagi kumpulan disebabkan prospek bahagian perindustrian yang lemah.
"Ini memandangkan sekatan pergerakan yang berlanjutan di China dan campuran jualan yang tidak menggalakkan di Australia tetapi pendapatan motor yang lebih kukuh pada suku tersebut, didorong oleh pendapatan dividen daripada BMW Malaysia yang dimiliki 49% dan pesanan tertunggak yang sihat," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Pandemik COVID-19 jejaskan prestasi Sime Darby pada Q3, untung bersih susut 18.67%
Ini mendorong CGS-CIMB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Sime Darby bagi FY22 dan FY23 sebanyak 3% dan 6% setelah mengambil kira tekanan inflasi dan jualan yang lebih rendah ekoran gangguan rantaian bekalan.
Bagaimanapun, ia berkata, kumpulan masih menawarkan hasil yang baik dengan unjuran 4.6% hingga 5% untuk 2022 hingga 23.
Pada masa sama, firma tersebut berpendapat, potensi jualan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) sebagai positif kepada kumpulan yang membolehkannya menambah nilai kepada aset penjagaan kesihatan.
Sebelum ini, Sime Darby dan rakan kongsinya, Ramsay Health Care telah menerima tawaran pengambilalihan daripada IHH Healthcare Bhd. untuk mengambil alih RSDH dengan nilai perusahaan bersyarat sebanyak
AS$1.35 bilion (RM5.67 bilion).
Setakat 12.20 tengah hari ini, harga saham Sime Darby susut 9 sen atau 4% kepada RM2.16 dengan 8.72 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








