CGS-CIMB semak turun harga sasaran Muhibbah kepada 49 sen dengan saranan 'kurang'  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB semak turun harga sasaran Muhibbah kepada 49 sen dengan saranan 'kurang' 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Jun – CGS-CIMB Research mengulangi pandangan 'kurang' terhadap Muhibbah Engineering (M) Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 49 sen berbanding 52 sebelum ini ekoran prospek pemulihan pendapatan yang lembap. 

 

Menurut firma itu, kumpulan masih berdepan prospek mencabar terutamanya tanpa kontrak berskala besar dan potensi kerugian secara berterusan daripada syarikat bersekutu. 

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran untung bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24, sebaliknya mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 33% setahun memandangkan kami membuat pelarasan bagi terbitan hak 1 untuk 2 yang diselesaikan baru-baru ini.

 

"TP juga disemak kepada 49 sen kerana kami mengaitkan dengan permodalan pasaran Favello Favco Bhd. yang lebih dan kecairan 10% daripada skim opsyen saham pekerja (ESOS) baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, Muhibbah merekodkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM468,000 berbanding RM5.32 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga susut kepada RM175.19 juta daripada RM218.05 juta. 

 

Firma itu mendapati, pendapatan susut sehingga 20% tahun ke tahun dan 42% suku ke suku di sebalik pembukaan semula ekonomi dan penarikan semula sekatan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

 

"Secara keseluruhan kerugian bersih teras kumpulan pada suku pertama itu sebanyak RM11.5 juta (berbanding keuntungan bersih RM5.3 juta pada suku pertama 2021) disebabkan kerugian daripada syarikat bersekutu dan pembayaran yang lemah bagi kontrak infrastruktur dan kren.

 

"Pendapatan bagi infrastruktur dan kren masing-masing susut 31% dan 25% tahun ke tahun berikutan penyusutan nilai kontrak untuk infrastruktur dan kelembapan sementara dalam pengeluaran kren," jelasnya.

 

CGS-CIMB juga menjangkakan syarikat bersekutunya akan mengalami kerugian pada separuh pertama 2022, dengan kemungkinan keuntungan minimum pada separuh kedua. 

 

"Kami juga percaya risiko kerugian secara berterusan dalam FY22 adalah tinggi memandangkan bilangan penumpang yang rendah di lapangan terbang kendalian Cambodia Airports (yang dimiliki dengan pegangan 21%)," katanya. 

 

Cambodia Airports menyasarkan jumlah penumpang minimum kira-kira 600,000 orang pada FY22, jauh di bawah paras sebelum pandemik sebanyak 12 juta. 

 

Muhibbah merupakan pemegang saham dalam Sociate Concessionaire de A’ Aeroport (SCA) yang juga dirujuk sebagai Cambodia Airports, memegang konsesi 3 lapangan terbang di Kemboja iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap-Angkor dan Lapangan Terbang Antarabansa Sihanoukville.

 

Setakat 12.25 tengah hari ini, harga saham Muhibbah menokok 0.5 sen atau 0.93% kepada 54.5 sen dengan 1.49 juta saham diniagakan. - DagangNews.com