KUALA LUMPUR 20 Mac - Rancangan Thong Guan Industries Berhad untuk mengembangkan perniagaan di Eropah mampu mendorong perolehan dan pengembangan margin kumpulan, kata CGS-CIMB Research yang positif terhadap pelaburan itu.
Susulan pertemuan dengan kumpulan itu, CGS-CIMB berkata kumpulan itu yakin terhadap trajektori pertumbuhannya walaupun keuntungan bersihnya kurang daripada jangkaan konsensus firma itu dan Bloomberg pada tahun kewangan 2022 (FY22).
Ini adalah berikutan volum jualan yang kian pulih di Asia dan rancangannya untuk menembusi pasaran Eropah, katanya dalam nota hari ini.
Tambahnya, Eropah merupakan tonggak pertumbuhan Thong Guan memandangkan pasaran di rantau telah memacu pertumbuhannya sejak enam tahun lalu, di mana eksport meningkat RM148.1 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding RM46 juta tahun kewangan 2017 (FY17), menyumbang 12.2% jualan syarikat bagi FY21.
Kumpulan itu memaklumkan filem regangan dan filem tiupan menjana margin lebih tinggi, merangkumi kebanyakan eksport syarikat ke Eropada pada tahun kewangan 2022 (FY22) disebabkan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir (ESG) yang ketat dan penggunaan Revolusi Perindustrian 4.0 yang lebih tinggi di benua itu.
Kumpulan itu juga akan membuat penampilan sulung di Interpack 2023, pameran perdagangan pembungkusan terbesar di dunia.
“Thong Guan berkata ia berusaha untuk menyertai Interpack 2023 dengan harapan untuk memperkenalkan perniagaannya kepada syarikat FMCG di Eropah dan mempamerkan keupayaan teknologinya,” kata firma itu.
Di samping itu, kumpulan itu telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada dua syarikat barangan pengguna berkembang pantas (FMCG) Eropah yang telah mengunjung kompleks pembuatannya.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mempunyai pengetahuan teknikal dan pemasaran untuk menyokong eksport margin tinggi yang dapat menyokong rancangan menggandakan pengembangan kapasiti dan perolehan tahunan kepada RM2 bilion setahun menjelang tahun kewangan 2026 (FY26).
Thong Guan juga adalah pemain industri yang unik disebabkan pematuhan tehug terhadap prinsip ESG, di mana pengetahuan teknologi membolehkan Thong Guan menerokai pasaran bernilai tinggi dan telah membantu pelanggan memenuhi keperluan ESG mereka.
CGS-CIMB positif terhadap perancangan kumpulan untuk mengembangkan perniagaan di Eropah dan mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran RM3.05 sesaham. -DagangNews.com








