CGS-CIMB : Pelabur asing, institusi tempatan paling banyak jual saham MyEG minggu lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB : Pelabur asing, institusi tempatan paling banyak jual saham MyEG minggu lalu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Feb - Aliran keluar bersih asing terus meningkat pada minggu lalu terutama menjelangnya pembentangan Bajet 2023, pada 24 Februari ini, menurut CGS-CIMB Research.

 

Dalam laporan aliran dana mingguannya, firma itu mendapati pelabur asing mencatat jualan bersih mingguan tertinggi sebanyak RM408 juta pada minggu berakhir 10 Februari itu, menjadikan jualan terkumpul setakat ini berjumlah RM788.5 juta.

 

Ini meletakkan pelabur asing sebagai penjual bersih terbesar setakat ini, perbezaan yang ketara daripada menjadi pembeli bersih terbesar pada 2022.

 

"Didapati, mereka menjadi penjual bersih bagi sektor perkhidmatan kewangan dan teknologi pada minggu lalu. 

 

"Tiga saham yang paling banyak dijual ialah MyEG Services Bhd. sebanyak RM85.9 juta diikuti Public Bank Bhd. (RM61 juta) dan Petronas Chemicals Group Bhd. (RM55.5 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI susut 1.1% minggu ke minggu apabila pelabur asing meningkatkan jualannya ke paras tertinggi setakat ini. 

 

Ia menyaksikan hanya sektor pembinaan merekodkan pulangan yang positif, meningkat 0.5% minggu ke minggu.

 

Sementara itu, sektor yang mencatat prestasi terburuk ialah teknologi (susut 5.2% minggu ke minggu) diikuti penjagaan kesihatan (-3.3%) dan pengangkutan (-2.5%).

 

CGS-CIMB berkata, pelabur institusi tempatan kekal pembeli bersih ekuiti buat minggu kelima berturut-turut tetapi pembelian bersih merosot 88% minggu ke minggu.

 

"Mereka banyak membeli ekuiti dalam sektor produk perindustrian dan utiliti terutamanya saham Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Petronas Chemicals dan Itmax System Bhd.

 

Pelabur runcit pula muncul pembeli bersih terbesar ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM264.4 juta. Bagaimanapun, mereka kekal sebagai penjual bersih ekuiti setakat ini berjumlah RM171 juta.

 

Kebanyakan pelabur runcit membeli bersih ekuiti dalam sektor perkhidmatan kewangan dan teknologi terutamanya saham MyEG, Public Bank dan Maybank.

 

Secara keseluruhan firma itu mendapati, saham MyEG paling banyak dibeli pelabur runcit dan penama tetapi paling banyak dijual pelabur asing dan institusi tempatan.

 

"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan paling banyak membeli saham TNB tetapi paling banyak dijual pelabur runcit dan penama," katanya. - DagangNews.com