KUALA LUMPUR 3 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor utiliti selepas kerajaan membuat semakan terhadap kadar tarif di bawah Tempoh Kawal Selia 2 (RP2).
Pada Jumaat lalu, Gas Malaysia Bhd mengumumkan di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), Tarif Purata Asas semasa dikekalkan pada kadar RM1.573 setiap gigajoule (GJ) sehari.
Tarif Purata Asas semasa adalah untuk pengguna Sistem Pengedaran Gas Asli Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD) antara 1 Januari 2023 dan 31 Disember 2025.
Petronas Gas Bhd. juga mengumumkan kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga meluluskan tarif IBR untuk RP2 bagi kemudahannya iaitu Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), Terminal Penggasan Semula Sg Udang, Melaka (RGTSU) dan Terminal Penggasan Semula Pengerang, Johor (RGTP).
Tarif Berasaskan IBR untuk PGU ialah RM1.061 setiap GJ sehari untuk 2023 dan RM1.063 setiap GJ sehari masing-masing untuk 2024 dan 2025.
Menurut CGS-CIMB, tarif purata asas RP2 yang lebih rendah dijangka menjejaskan bahagian pengangkutan dan pengegasan semula Petronas Gas, yang menyumbang kira-kira 56 hingga 65% daripada keuntungan kasar bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY19) hingga FY21.
"Dengan pengurangan 5.8% dalam tarif PGU dan pengurangan 9.2% dalam tarif RGTP di bawah tarif RP2 berbanding RP1, analisis sensitiviti kami mendedahkan ia boleh mengurangkan ramalan pendapatan bagi FY23 hingga FY24 kami sebanyak 5%.
"Namun begitu, kami masih menjangkakan hasil bagi FY23 berkembang 11% tahun ke tahun berbanding FY22 memandangkan ketiadaan Cukai Makmur," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, pendapatan Gas Malaysia dijangka kekal stabil memandangkan kadar tarif pengedaran tidak berubah di bawah RP2.
Sebelum ini, perniagaan terkawalnya menyumbang 70 hingga 75% daripada pendapatan bagi FY20 hingga FY21.
"Tetapi, memandangkan tiada maklumat lanjut mengenai saiz asas aset atau pulangan aset terkawal di bawah RP2 bagi Petronas Gas dan Gas Malaysia, kami mengekalkan unjuran tidak berubah sementara menanti butiran seterusnya," jelasnya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB meletakkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Gas Malaysia sebagai pilihan utamanya bagi sektor utiliti. - DagangNews.com








