KUALA LUMPUR 14 Feb - Pembentangan semula Bajet 2023 pada Jumaat depan akan menyaksikan aliran kerja kembali meraih momentum pada separuh kedua tahun ini.
Penganalisis CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely berkata, ia akan memulihkan prospek bagi subsektor utama dengan jelas khususnya dalam segmen rel, lebuh raya/jalan raya, infrastruktur air dan projek infrastruktur luar bandar.
Berdasarkan semakan industri yang dijalankan baru-baru ini, menurutnya, jangkaan adalah tinggi untuk projek MRT3 bernilai RM32 bilion untuk diberikan 'kick-off' secara rasmi pada separuh kedua 2023.
"Sementara ia masih perlu dilihat jika model pembiayaan hibrid masih ada, dan jika kerajaan memilih untuk kembali kepada skim pembayaran tertunda penuh dengan menaikkan bon melalui DanaInfra Nasional.
"Dalam kedua-dua kes ini, kami menjangkakan permulaan kerja-kerja awam MRT3 pada akhir 2024, kira-kira 9 hingga 12 bulan selepas anugerah kontrak kerja awam MRT3, kemungkinan pada suku kedua atau separuh kedua 2023.
"Ini bagi memberi laluan kepada proses pengambilan tanah yang masih di peringkat awal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan statistik kontrak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) setakat akhir 2022, jumlah nilai kontrak yang dianugerahkan meningkat sedikit sebanyak 1.4% tahun ke tahun kepada RM135 bilion.
Pertumbuhan itu sebahagian besarnya telah dijangkakan, sejajar dengan trend pemberian kontrak yang menurun untuk subsektor kediaman dan infra.
Bagaimanapun, ini telah diimbangi oleh pertumbuhan dalam subsektor bukan kediaman (bangunan komersial/pejabat/perindustrian).
Menurut Sharizan, kontrak infrastruktur pada 2022 adalah paling lemah dalam sektor pembinaan dari segi pemulihan aliran kerja dan kemungkinan akan berterusan sehingga separuh pertama 2023.
Menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini, beliau mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan.
"Ini didorong rekod prestasi dalam dan luar negara yang kukuh, syarikat yang meraih kontrak bagi pakej MRT3 yang besar, penerima aset penyusunan semula/pengewangan dan strategi agresif untuk berkembang ke pasaran baharu dan dan mengembangkan asas pendapatan berulang tenaga boleh diperbaharui (RE)," jelasnya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB meletakkan Gamuda Bhd., HSS Engineers Bhd. dan IJM Corp. Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor pembinaan. - DagangNews.com








