CGS-CIMB : Dasar yang jelas, kestabilan politik jadi penentu sejauh mana cabaran bagi 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB : Dasar yang jelas, kestabilan politik jadi penentu sejauh mana cabaran bagi 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Dis - Tahun 2023 kekal mencabar kepada pasaran tempatan memandangkan korporat harus menyesuaikan kedudukan dengan persekitaran selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan pelaksanaan dasar-dasar baharu, landskap politik dan kelembapan pertumbuhan global. 

 

Menurut CGS-CIMB Research, prospek pada tahun hadapan juga dipengaruhi dengan dasar monetari yang ketat dan ketegangan geopolitik yang masih berterusan antara Rusia-Ukraine. 

 

Selepas PRU15, kerajaan telah mengurangkan cabutan khas untuk Number Forecast Operators (NFO) dan menangguhkan beberapa projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang sebelum ini diberikan melalui rundingan terus.

 

Selain itu, ia turut mengapungkan kemungkinan menghapuskan kartel dalam sektor makanan dan bekalan utama, memutuskan untuk menyemak semula pelaksanaan 5G melalui Digital Nasional Bhd. (DNB) dan kemungkinan melaksanakan subsidi bersasar.

 

"Walaupun semakan semula dasar ini akan menyebabkan kebimbangan jangka pendek kerana memberi risiko kepada hasil, tetapi kami menjangkakan faktor ini telah diambil kira pada separuh pertama 2023 dengan pasaran akan melantun semula pada separuh kedua.

 

"Kami berpendapat kelemahan boleh dihadkan oleh jangkaan pertumbuhan pendapatan FBM KLCI yang lebih kukuh sebanyak 12.8% pada 2023 (berbanding -2.9% pada 2022).

 

"Selain itu, pegangan saham asing menghampiri paras terendah dalam sejarah, dan pelabur institusi tempatan boleh menjadikan pembeli bersih dalam pasaran pada kecairan yang lebih baik," katanya dalam laporan strategi prospek 2023 hari ini.

 

 

Bursa Malaysia

 

 

Setakat 9 Disember 2022, firma itu mendapati KLCI menyusut 5.8% dipengaruhi pelbagai faktor negatif dalam pasaran tempatan.

 

Antaranya, kemunculan gelombang varian baharu COVID-19, pencerobohan Ukraine oleh Rusia, kebimbangan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, kenaikan gaji minimum, kenaikan sehingga 100 mata asas kadar dasar semalam (OPR), risiko kemelesetan Amerika Syarikat (AS) dan Parlimen tergantung selepas PRU15. 

 

Pada masa sama, syarikat korporat juga berdepan ketidaktentuan disebabkan masalah kekurangan buruh, isu rantaian bekalan, harga komoditi yang tinggi dan kelemahan ringgit.

 

Ini mendorong CGS-CIMB menyemak turun unjuran KLCI kepada 1,510 mata menjelang akhir tahun ini tetapi menaikkan unjuran bagi akhir 2023 kepada 1,633 mata. 

 

Firma itu menasihati pelabur untuk meneroka saham yang mampu menawarkan pemangkin tematik untuk memacu harga saham.

 

Lima tema pelaburan dagangan bagi 2023 perlu melihat kepada sektor yang meraih manfaat daripada pembukaan semula ekonomi China, kenaikan kadar faedah, pilihan Alpha (Genetec, Infomina, Karex, Bonia), pilihan ESG (Maybank, IHH, Inari, F&N, Astro) dan mampu memberi hasil dividen yang tinggi.

 

Menurutnya, pelabur dijangka kekal berhati-hati pada separuh pertama 2023 memandangkan mereka menantikan penentuan dasar yang lebih jelas daripada kerajaan baharu dan kemungkinan tambahan cukai dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada Januari atau Februari depan.

 

"Pada masa sama, mereka juga akan menilai kestabilan kerajaan perpaduan baharu melalui beberapa acara penting, seperti pemilihan parti UMNO dan enam pilihan raya negeri," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

 

BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.

 

Susulan itu, ia membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mendapat perkenan daripada Istana Negara. 

 

Jumaat lalu, empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama Pakatan Harapan (PH) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan dipimpin Anwar.

 

CGS-CIMB berkata, perjanjian yang dimeterai itu secara tidak langsung akan menyuntik sentimen dalam pasaran kerana ia membantu memastikan kecekapan pentadbiran dan keseragaman dari segi dasar.

 

"Ini akan memberi jaminan bahawa PM Anwar kemungkinan besar akan memperoleh undi percaya, membolehkan beliau meneruskan reformasi untuk ekonomi dan Parlimen," katanya. 

 

 

MOF

 

 

Setakat 15 Disember 2022, pelabur asing membeli RM4.5 bilion ekuiti tempatan selepas empat tahun merekodkan jualan bersih, memandangkan kebanyakan dana asing mempengaruhi penarafan Malaysia ekoran kebimbangan terhadap kestabilan politik.

 

Menurut CGS-CIMB, pegangan saham asing semasa sebanyak 20.7% pada akhir November menghampiri paras terendah sepanjang masa sebanyak 20.3% sejak data disediakan pada 2007. 

 

"Oleh itu, kami percaya kelemahan daripada potensi jualan asing mungkin terhad. Malah, kami menjangkakan pelabur asing akan menjadi lebih positif pada separuh kedua 2023 sekiranya kerajaan perpaduan mampu membawa kestabilan politik dan menarik pelabur domestik dan asing. 

 

"Pada masa sama, pengukuhan ringgit juga akan merangsang pasaran ekuiti tempatan. Potensi pulangan dana asing akan meningkatkan semula minat dalam syarikat yang pernah menarik minat asing yang tinggi tetapi telah dijual sejak PRU14 kerana kebimbangan terhadap kestabilan politik dan risiko ESG," katanya. -DagangNews.com