CelcomDigi mula bina rangkaian digital baharu guna teknologi terkini permudah peralihan 5G | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi mula bina rangkaian digital baharu guna teknologi terkini permudah peralihan 5G

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - CelcomDigi Berhad telah memulakan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan menyepadukan dan memodenkan rangkaian 4G dengan teknologi LTE dan 5G yang terkini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Idham Nawawi berkata program tersebut merupakan antara projek pelancaran rangkaian terbesar negara yang melibatkan 18,000 tapak, susulan penggabungan Celcom dan Digi pada awal Disember 2022.

 

Beliau berkata rangkaian baharu yang bersepadu dan dimodenkan itu merealisasikan kelebihan dan kekuatan penggabungan Celcom dan Digi dan teruja untuk memulakan projek ini bagi negara, membina rangkaian digital terbesar dan moden menggunakan teknologi telekomunikasi mudah alih terkini.

 

“Kami telah berjaya melancarkan  projek rintis di lima kluster baru-baru ini di Sitiawan, Rawang, Bercham, Port Dickson dan Kuantan, dan kami berbesar hati melaporkan bahawa usaha naik taraf berkenaan telah diuruskan tanpa sebarang gangguan terhadap pengalaman pelanggan. 

 

“Kami komited untuk membina rangkaian lebih pantas dan kukuh bagi menawarkan rakyat Malaysia pengalaman digital tiada bandingan, berlandaskan piawaian kesalinghubungan, kelajuan, kebolehpercayaan dan kestabilan yang tinggi,” katanya dalam satu taklimat bersama media di Petaling Jaya, hari ini.

 

Menurut Idham, rangkaian baharu ini juga direka bentuk agar mampu beralih secara lancar ke rangkaian 5G baharu dengan capaian 18,000 tapak iaitu infrastruktur yang sesuai untuk membimbing Malaysia ke era kelajuan ultra tinggi, kependaman rendah dan pelbagai peluang dalam satu masa depan yang lebih tersambung.

 

"Ini adalah satu perkembangan penting untuk CelcomDigi dan negara, dan kami amat gembira untuk menjadi peneraju yang merealisasikan potensi masa depan digital kita yang dikongsi bersama," tambahnya.

 

Apabila siap kelak, rangkaian tersebut akan menawarkan pelanggan mutu pengalaman yang jelas dipertingkatkan hampir di mana-mana sahaja, dengan meningkatkan capaian daripada 96% kepada 98% rakyat Malaysia di seluruh negara.

 

Mengikut laporan kewangan suku pertama 2023, CelcomDigi merancang untuk melabur semula 15 hingga 18% daripada jumlah hasil dalam perbelanjaan modal bagi menyokong kedua-dua rangkaian sedia ada serta rangkaian bersepadu dan dimodenkan yang baharu tersebut.

 

Ia turut merancang untuk mengekalkan momentum integrasi yang kukuh bagi melengkapkan pelaksanaan rangkaian dalam tempoh dua setengah hingga tiga tahun akan datang. -DagangNews.com