KUALA LUMPUR 9 Feb - Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) menarik semula larangan selama setahun yang dikenakan ke atas import barangan yang dibuat oleh pengeluar sarung tangan getah, YTY Industry Holdings Sdn. Bhd.
Ia berikutan syarikat itu sudah menyelesaikan dakwaan berhubung buruh paksa, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pada Januari 2022, CBP AS menyekat produk YTY, dengan memetik bukti munasabah menunjukkan terdapat penggunaan 'buruh paksa' dalam operasi pengeluaran syarikat itu, termasuk cara hidup dan persekitaran kerja yang teruk.
CBP berkata, YTY sudah mengambil pelbagai langkah pemulihan untuk menangani beberapa petunjuk buruh paksa, dan sudah membayar balik yuran pengambilan kepada pekerja asing yang dibayar serta ditauliah oleh sebuah audit sosial bebas.
"Sehubungan itu, CBP menetapkan bahawa sarung tangan pakai buang YTY Group tidak lagi dihasilkan menggunakan buruh paksa," katanya.
Beberapa syarikat Malaysia, termasuk antara pembekal utama dunia bagi sawit dan sarung tangan perubatan, berada di bawah pemantauan kerana disyaki menyalahguna pekerja asing, yang terdiri daripada sejumlah besar tenaga kerja pengeluaran di negara ini.
Selepas larangan itu tahun lalu, YTY berkata, ia sudah melaksanakan 'kemajuan terbukti' dari segi layanan pekerja asing sejak awal 2019, dan ia terkejut dengan sekatan yang dikenakan. - DagangNews.com








