Caspi milik Halim Saad akan disenaraikan di Nasdaq sebagai Liberty Onshore Energy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caspi milik Halim Saad akan disenaraikan di Nasdaq sebagai Liberty Onshore Energy

KUALA LUMPUR 23 Dis - Pemegang konsesi pengeluaran minyak dan gas yang berpangkalan di Kazakhstan, Caspi Oil Gas LLP dijangka disenaraikan di Nasdaq sebagai Liberty Onshore Energy BV di bawah simbol LIBY.

 

Seperti dilapor The Edge, Liberty Onshore Energy memeterai perjanjian muktamad gabungan perniagaan dengan Markmore Energy (Labuan) Ltd, pemilik Caspi Oil Gas, Liberty Resources Acquisition Corp, Liberty Onshore Resources BV dan LIBY Merger Sub LLC, pada 15 Disember lalu.

 

Berikutan proses penstrukturan semula yang kompleks, syarikat gabungan yang akan meneruskan penyenaraiannya di bursa saham ialah Liberty Onshore Energy.

 

Menurut laporan itu, penggabungan dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2023, tertakluk kepada semakan dan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS.

 

Caspi dimiliki tokoh korporat tidak asing lagi di Malaysia, Tan Sri Halim Saad menerusi Markmore Energy, manakala Liberty Resources Acquisition ialah syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC).

 

Pada mulanya, SPAC sepatutnya disenaraikan di Nasdaq, berdasarkan laporan sebelum itu. Bagaimanapun, berikutan perjanjian 15 Disember lalu, ia kini akan menjadi anak syarikat milik penuh Liberty Onshore Energy.

 

"Urus niaga itu mewakili nilai perusahaan proforma sebanyak AS$463.7 juta (RM2.05 bilion) untuk Caspi, yang digabungkan dengan pembiayaan baharu AS$120 juta dan AS$117 juta Liberty dalam akaun amanahnya, akan menghasilkan nilai perusahaan proforma sebanyak AS$701 juta sebelum penebusan dan kos transaksi," jelas laporan itu hari ini.

 

Menurutnya, syarikat yang disatukan itu akan memiliki medan minyak Rakushechnoye, yang terletak di Kazakhstan Barat meliputi 287 kilometer persegi sumber minyak dan gas sedia ada untuk pengeluaran.

 

Medan itu dijangka mengeluarkan 1.7 juta tong minyak, 1.8 juta tong kondensat dan 12,454,000 unit termal British (MMBtu) gas pada 2025.

 

Pengeluaran akan terus meningkat kepada 16 juta tong minyak, 3.5 juta tong kondensat dan 64,279,000 dalam MMBtu gas pada 2028 sebelum mula menurun selepas itu.

 

Malah, medan itu berhak memperoleh lesen pengeluaran dengan tempoh maksimum 25 tahun berdasarkan pelan pembangunan lapangan yang dibangunkan oleh penasihat teknikal bebas.

 

Abu Talib Abdul Rahman, yang merupakan pengarah Markmore dan ahli lembaga penyeliaan Caspi, berkata, Caspi teruja dengan prospek gabungan perniagaan itu.

 

"Kami bertuah mendapat sokongan daripada pelabur peringkat atasan, dan akses prospektif kepada pasaran modal AS berikutan urus niaga yang dicadangkan ini, yang akan menjadikan Caspi mempunyai modal yang baik untuk mengeksploitasi aset sumber asli kami yang besar," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Resources Acquisition, Datuk Maznah Abdul Jalil berkata, gabungan perniagaan dengan Caspi membolehkan Liberty Resources Acquisition berkongsi aset aliran tunai awal yang menarik dengan ramalan pengeluaran dan aliran tunai yang semakin meningkat.
 

"Kami menjangkakan ini boleh memberi pulangan yang sangat besar kepada pelabur kami," katanya.- DagangNews.com