KUALA LUMPUR 25 Mei - Sebagai langkah ke arah mobiliti yang lebih inklusif dan lestari, Setel memperkenalkan fungsi terbaharunya yang membolehkan serta memudahkan pengguna mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka melalui aplikasi Setel.
Pengguna EV dapat menemukan stesen pengecasan pilihan mereka berserta jenis pengecas dan pengecas tersebut dapat diaktifkan dengan mudah hanya menggunakan aplikasi Setel.
Pembayaran akan dibuat melalui Setel Wallet, lalu pengguna akan menerima mata ganjaran Mesra untuk setiap transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, tawaran kemudahan pengecas EV dalam ekosistem Setel membolehkan pihaknya menjurus fokus ke atas aspek kelestarian.
"Kemudahan ini terlahir dengan mendengar keperluan para pelanggan kami dan ia juga merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kami untuk terus menginovasi demi mobiliti inklusif, yakni bagi mendukung usaha global untuk menyahkarbon pengangkutan jalan raya.
"Didorong oleh penerimagunaan EV yang kian berkembang di Malaysia, kami berhasrat untuk meluaskan akses ke atas infrastruktur pengecasan awam di samping memudahkan proses pengecasan bagi pengguna EV, setanding dengan pengalaman mengisi petrol yang ditawarkan oleh Setel kepada para pengguna kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setel telah bekerjasama dengan JomCharge sebagai pihak penyedia yang pertama, dengan rancangan untuk bekerjasama dengan lebih ramai penyedia EV dalam tempoh terdekat, termasuk Energise oleh Petronas.
Dalam fasa pertamanya, pengguna EV boleh menggunakan aplikasi Setel untuk mengecas kenderaan elektrik mereka di lima lokasi rintis, termasuk Lotus’s Tesco Kepong, EV Connection Workshop di Petaling Jaya.
Ia juga termasuk Carsome PJ Automall, Rasa Sayang Resort milik Shangri-La di Pulau Pinang serta ibu pejabat ACO Group di Johor Bahru dan banyak lagi lokasi akan menyusul secara berperingkat. - DagangNews.com








