Carsome Academy tawar Biasiswa TVET Selangor kepada 30 pelajar terpilih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carsome Academy tawar Biasiswa TVET Selangor kepada 30 pelajar terpilih

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - Carsome Academy menawarkan Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Selangor kepada sebanyak 30 pelajar yang layak memasuki akademi tersebut pada tahun ini.

 

Biasiswa TVET Selangor meliputi yuran pengajian program itu ditawarkan kepada belia berusia antara 18 hingga 40 tahun yang dilahirkan di Selangor dan terbuka kepada penduduk yang menetap di negeri itu sejak lima tahun lepas.

 

Purata pendapatan isi rumah bulanan pemohon dan keluarga tidak boleh melebihi RM4,000, selain pemohon juga adalah tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

 

Pemohon sepatutnya telah mendaftar atau dalam proses permohonan untuk mengikuti kursus sepenuh masa Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 di Carsome Academy.

 

Pengasas Bersama Carsome dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Teoh Jiun Ee berkata, Juruteknik Automotif yang mereka latih perlu dipertingkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi dan dilengkapkan dengan kemahiran dalam menyelesaikan masalah serta komunikasi. 

 

Katanya, Carsome Academy komited untuk membangunkan generasi Juruteknik Automotif yang berkemahiran tinggi untuk memacu industri di masa hadapan.

 

"Hari ini, kami telah mempamerkan pendekatan pengajaran baharu yang memastikan para pelajar kami mempunyai kebolehpasaran yang tinggi di dalam industri. 

 

 

carsome
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han mencuba teknologi VR pada pelancaran Biasiswa TVET Selangor di Carsome Academy di Petaling Jaya pada 13 Mac 2023.

 

 

"Pendekatan utama kami adalah berpusatkan para pelajar dengan menggabungkan pembelajaran mereka dengan teknologi terkini.  

 

"Oleh demikian, kami telah memperkenalkan Virtual Reality (VR) sebagai sebuah pembelajaran berteknologi yang ada di akademi kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, VR berpotensi mengubah cara pembelajaran dan pengajaran dengan menawarkan pengalaman interaktif yang boleh meningkatkan penglibatan dan pemahaman pelajar tentang konsep yang kompleks.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Biasiswa TVET Selangor pelajar Carsome Academy 2023, sila layari https://carsomeacademy.my/scholarship_2023/. - DagangNews.com