Burung Hering Keliling PM | DagangNews Skip to main content

Burung Hering Keliling PM

Oleh Ab Jalil Backer

SEJAK mengambil alih pentadbiran, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agak kritikal mengenai monopoli seolah-olah semua monopoli itu tidak baik untuk rakyat.

 

Serangan pertama Perdana Menteri ialah ke atas Syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) yang memberi gambaran seolah-olah konsesi eksklusif Bernas kepada pengedaran beras merupakan satu penindasan kepada petani miskin.

 

Ini telah memberi gambaran yang salah kepada semua pihak.

parafrasa

Hakikatnya konsesi terbabit datang datang dengan tanggungjawab melibatkan penstabilan harga padi petani tempatan, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, mengembangkan Skim Pengilangan Padi Bumiputera dan memastikan kecukupan makanan ruji rakyat negara ini.

 

Manakala pelabur dan usahawan tulen melihat dengan penuh bimbang mengenai campur tangan kerajaan secara semberono dalam perniagaan. Ini boleh menghakis keyakinan untuk mengambil risiko melabur.

 

Selain Bernas, kerajaan ini juga dilihat menyasarkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Digital Nasional Berhad (DNB).


 

parafrasa

 


Konsesi Puspakom sebagai perkhidmatan tunggal bagi pemeriksaan berkala kenderaan motor untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan disambung selepas tamat pada 31 Ogos 2024.

 

Hak eksklusif Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pemborong tunggal rangkaian (SWN) 5G negara juga akan dimansuhkan oleh kerajaan pada akhir tahun 2023. Kerajaan akan memperkenalkan dwi rangkaian 5G bagi mengganti model SWN.

 

Ketika pemansuhan hak eksklusif Puspakom akan memberi perkhidmatan yang lebih cekap kepada rakyat, perubahan dasar 5G negara pula dijangka akan mencetus pelbagai ketidaktentuan dan kerugian kepada pengguna.

 

Ini kerana kelaziman atau nature perniagaan yang berbeza.  Spektrum rangkaian mudah alih memerlukan infra seluruh negara bagi memastikan setiap rakyat mendapat perkhidmatan yang sama. Ini memerlukan pelaburan berbelas bilion ringgit dan skala penggunaan yang berdaya maju (viable).

 

Ketika spektrum 3G dan 4G diperkenalkan, kerajaan membenarkan banyak operator rangkaian mudah alih (MNO) membina infra mereka sendiri. Hasilnya pada tahun 2021, Malaysia menduduki tangga kedua tercorot kalangan negara Asean bagi perkhidmatan 4G sama ada dari segi liputan, kelajuan dan caj yang dikenakan.

 

Sebaliknya, melalui DNB, kualiti akses 5G negara pada masa kini berada antara terbaik dunia. Malaysia menduduki tangga kedua selepas Korea Selatan dari segi kelajuan muat turun (download), tangga pertama kelajuan muat naik (upload) dan tangga kedua selepas Taiwan dalam kategori muat turun semasa waktu puncak.

 

Malangnya kerajaan mengambil keputusan menamatkan model DNB, yang sebenarnya bukan monopoli pun, hanya atas alasan mengelakkan monopoli.


 

parafrasa

 


Kerajaan perlu sedar bahawa bukan semua monopoli itu buruk untuk rakyat dan bukan semua sistem banyak penyedia perkhidmatan itu baik untuk rakyat.

 

Perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat seluruh negara tetapi membabitkan perbelanjaan infra yang berbilion ringgit memerlukan campur tangan kerajaan bagi memastikan kos perkhidmatan rendah dan tidak membebankan rakyat.

 

Bagi negara yang kecil seperti Malaysia, pembabitan banyak ‘pemain’ dalam industri yang memerlukan pelaburan infra berbilion ringgit ke seluruh negara adalah sesuatu yang tidak berdaya maju.

 

Tenaga Nasional Berhad mampu memberi bekalan elektrik yang lebih cekap dan murah kepada rakyat berbanding sistem pembekalan air negeri-negeri, kerana mereka boleh membuat pelaburan besar berdasarkan hak eksklusif pengedaran elektrik di Semenanjung Malaysia.


 

parafrasa

 


Kebimbangan utama kita ialah polisi ekonomi kerajaan sekarang bukan berasaskan kepentingan rakyat, tetapi lebih kepada memenuhi hawa nafsu konglomerat yang rapat dengan parti politik atau pemimpin politik.

 

Dalam kes DNB sendiri hak eksklusif tersebut dimansuhkan kerana lobi kumpulan peniaga tertentu, bukannya kerana kepentingan rakyat.

 

Kebimbangan kita, banyak lagi perkhidmatan yang membabitkan kepentingan rakyat dan keselamatan negara akan dipecah-pecahkan bagi ‘mengeyangkan’ para penyumbang dana politik masa lalu dan akan datang.


 

irsyad

 


Perdana Menteri harus berhati-hati dengan ahli perniagaan yang bersifat burung hering ini. Mereka akan cuba makan sebanyak mungkin tanpa mengambil kira kesan kepada rakyat dan negara.

 

Monopoli atau hak eksklusif dalam perkhidmatan tertentu mungkin buruk kepada kapitalis yang bersifat burung hering, namun ia akan menjaga kepentingan rakyat dan keselamatan negara.

 

Pilihan kepada Perdana Menteri mahu menjaga kepentingan siapa. - SINAR AHAD

 

Artikel ini asalnya disiarkan di Sinar Ahad dan disiar semula di sini atas ehsan penulis