KUALA LUMPUR 3 Ogos - Bursa Securities menolak cadangan penempatan persendirian GIIB Holdings Berhad dengan menyatakan pertuduhan terhadap beberapa pengarahnya di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Berdasarkan representasi yang dibuat dalam permohonan penyenaraian tambahan (ALA) berhubung cadangan penempatan persendirian serta pelbagai pengumuman yang dibuat oleh GIIB, Bursa Securities mengambil maklum bahawa terdapat pertuduhan tertentu dibuat terhadap pengarah tertentu yang masih menunggu keputusan mahkamah.
"Memandangkan amalan tadbir urus korporat oleh penerbit tersenarai dan pengarahnya merupakan salah satu bidang utama yang diambil kira oleh Bursa Securities semasa memproses ALA, pertuduhan SPRM telah menimbulkan kebimbangan terhadap amalan tadbir urus korporat.
"Oleh itu, Bursa Securities tidak dapat mempertimbangkan ALA,"katanya.
Pengilang kompaun berkaitan getah itu pada April mencadangkan untuk melaksanakan penempatan persendirian sehingga 81.96 juta saham baharu, atau 10% daripada modal saham terbitannya bagi mengumpul sehingga RM6.97 juta bagi modal kerjanya.
Pada Mei lalu, SPRM menahan ketua pegawai eksekutif (CEO) GIIB, Tai Boon Wee bersama pengarah eksekutif, Tai Qiyao dan Wong Ping Kiong, berkaitan invois berjumlah RM24,000 yang dikeluarkan oleh anak syarikatnya, GIIB Healthcare Products Sdn. Bhd. atas penjualan sarung tangan.
Awal tahun ini, SPRM telah mendakwa kedua-dua Boon Wee dan Pin Kiong mengikut Seksyen 18 Akta SPRM kerana didakwa memberikan dokumen palsu kepada juruaudit Grant Thornton Malaysia PLT.
Bulan lalu, Boon Wee melepaskan jawatan pengerusi eksekutifnya tetapi kekal sebagai CEO. Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat menggantikan Boon Wee sebagai pengerusi bukan eksekutif. - DagangNews.com








