KUALA LUMPUR 16 Nov - Bursa Malaysia Derivatives Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bursa Malaysia Derivatives Clearing Bhd. menerima pengiktirafan sebagai Rakan Sebelah Pusat Negara Ketiga (TC-CCP) oleh Pihak Berkuasa Sekuriti dan Pasaran Eropah (ESMA).
Pengiktirafan itu diberikan kepada Bursa Malaysia Derivatives Clearing pada 7 November lalu di bawah Peraturan Infrastruktur Pasaran Eropah (EMIR).
Pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives, Mohd. Saleem Kader Bakas berkata, bursa kini akan mempunyai akses yang lebih besar kepada komuniti pelaburan Eropah manakala rakan niaga Eropah akan mendapati lebih mudah dan menjimatkan kos untuk menjalankan perniagaan dengan Bursa Malaysia.
Katanya, pengiktirafan itu mengesahkan Bursa Malaysia sejajar dengan piawaian antarabangsa, yang akan mewujudkan peluang baharu dengan European Clearing Institutions.
"Kami adalah bursa ketiga di ASEAN yang diberi pengiktirafan ini, yang merupakan satu pencapaian penting bagi Bursa Malaysia.
"Sehubungan itu, kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan yang diterima daripada Suruhanjaya Sekuriti sepanjang proses permohonan TC-CCP," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah keperluan EMIR, hanya TC-CCP yang diiktiraf dapat menyediakan perkhidmatan 'clearing' kepada ahli atau tempat perdagangan yang ditubuhkan di Kesatuan Eropah.
Dengan pengiktirafan itu bermakna peserta pasaran dari Eropah tertakluk kepada keperluan/caj modal yang lebih rendah di bawah rangka kerja Basel III yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Basel mengenai Penyeliaan Perbankan, yang membolehkan ahli Eropah mengurus risiko rakan niaga mereka dengan cekap. - DagangNews.com








