Bursa Malaysia, MGTC bekerjasama bangunkan ekosistem pasaran karbon sukarela | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia, MGTC bekerjasama bangunkan ekosistem pasaran karbon sukarela

KUALA LUMPUR 20 Feb - Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Bursa Malaysia Bhd. bagi membangunkan dan menggalakkan ekosistem pasaran karbon sukarela (VCM) di Malaysia.

 

Kerjasama itu adalah susulan daripada pelancaran Bursa Karbon Bursa (BCX) pada Disember 2022, yang akan menyaksikan MoC selama tiga tahun itu tertumpu kepada tiga bidang.

 

Ia merangkumi pembangunan buku panduan VCM kebangsaan, mewujudkan Direktori Penyedia Perkhidmatan Industri Karbon dan meningkatkan kepakaran teknikal serta perkongsian pengetahuan dalam kalangan pemain ekosistem.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor berkata, buku panduan VCM dengan sokongan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, akan memudahkan perdagangan kredit karbon berkualiti tinggi yang mematuhi pasaran antarabangsa.

 

Katanya, ia secara tidak langsung membolehkan syarikat-syarikat membangunkan projek bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan turut meningkatkan penjujukan karbon secara eksponen.

 

“Malah, Direktori Penyedia Perkhidmatan Industri Karbon akan menjadi rujukan berharga bagi syarikat yang berminat untuk mencapai (karbon) sifar bersih," katanya dalam majlis menandatangani perjanjian itu hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Beliau juga menyifatkan peningkatan permintaan bagi kredit karbon dan pengurangannya, membuka jalan bagi mewujudkan panduan khusus kebangsaan mengenai VCM dalam menangani agenda perubahan iklim.
 

“Matlamat kita adalah untuk menjadi sebuah negara karbon sifar bersih seawal 2050 dan sasaran segera adalah  mengurangkan intensiti pelepasan GHG tanpa syarat sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding tahap pada 2005," tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kerjasama dengan MGTC itu amat bertepatan dalam usaha mempercepatkan pembinaan kapasiti dalam kalangan pemain utama ekosistem VCM selain memajukan agenda hijau negara.

 

Malah, katanya, antara aspek utama kerjasama tersebut adalah penganjuran Forum Pasaran Karbon Malaysia yang disasarkan untuk diadakan bersempena Persidangan Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (i-GEM) pada Oktober 2023.

 

“Forum yang julung kali diadakan ini akan menghimpunkan pakar-pakar pasaran karbon bagi membincangkan topik utama berkaitan industri seperti aliran serta dasar pasaran karbon global.

 

“Tidak ketinggalan aspek kewangan dan pembangunan projek  serta  topik lain berkaitan dengan VCM selain menjadi peluang bagi jaringan dalam  pasaran ini,” katanya. -DagangNews.com