KUALA LUMPUR 20 Feb - Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan pada minggu lalu setelah mencatat aliran keluar selama lima minggu berturut-turut sebanyak RM860.9 juta.
Bagi minggu berakhir 17 Februari itu, mereka membeli ekuiti tempatan sebanyak RM195.3 juta, demikian menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya.
Sepanjang minggu lalu, mereka membeli ekuiti hampir setiap hari kecuali Jumaat yang merekodkan aliran keluar sebanyak RM25.9 juta.
Firma itu mendapati aliran masuk bersih asing paling tinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM103.2 juta diikuti Khamis sebanyak RM74.4 juta.
"Sektor penjagaan kesihatan merekodkan aliran masuk bersih asing paling tinggi pada minggu lalu sebanyak RM56.5 juta diikuti pembinaan (RM41.6 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM40.2 juta).
"Bagi aliran keluar asing pula, sektor perladangan mencatatkan paling banyak jualan ekuiti sebanyak RM18.8 juta diikuti utiliti (RM12.4 juta) dan hartanah (RM6.4 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan menjual bersih ekuiti sebanyak RM140.2 juta selepas lima minggu berturut-turut mencatat aliran masuk.
Pada minggu lalu, ia hanya menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak RM16.2 juta pada Selasa, manakala aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM53.2 juta. Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah membersih ekuiti sebanyak RM819.8 juta.
Pelabur runcit pula merupakan penjual bersih ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM55.1 juta, daripada pembelian bersih sebanyak RM263.8 juta pada minggu berakhir 10 Februari lalu.
Ia hanya menyaksikan aliran masuk bersih ekuiti pada Isnin dan Jumaat masing-masing sebanyak RM7 juta dan RM40.1 juta. Setakat ini, pelabur runcit menjual bersih ekuiti sebanyak RM226.6 juta.
Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing menurun sebanyak 14.9%, 16% dan 12.3%. - DagangNews.com








