KUALA LUMPUR 23 Mei - Bursa Malaysia mencatat aliran masuk asing berjumlah RM26.15 juta bagi minggu berakhir 20 Mei 2022, lebih rendah berbanding RM56.9 juta yang direkodkan minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, pelabur asing masih kekal sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan pada minggu lalu, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research.
Setakat ini, dana antarabangsa menjadi pembeli ekuiti tempatan selama 16 daripada 20 minggu, dengan aliran masuk berjumlah RM7 bilion.
"Pada minggu berkenaan, mereka menjual ekuiti pada Selasa dan Rabu, masing-masing sebanyak RM51.97 juta dan RM10.6 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sementara itu, pelabur runcit menjual RM8.03 juta ekuiti minggu lalu setelah 5 minggu berturut-turut menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan.
Pelabur runcit menjual ekuiti selama 3 hari mulai Selasa hingga Khamis berjumlah RM13.55 juta, kecuali Jumaat yang merekodkan aliran masuk sebanyak RM5.52 juta.
Bagi pelabur institusi tempatan pula, ia kekal menjual ekuiti tempatan pada minggu lalu menjadikannya minggu ke-17 daripada 20 minggu tahun ini.
Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah merekodkan jualan ekuiti sebanyak RM8.11 bilion.
"Pada minggu lalu, mereka menjual sebanyak RM18.12 juta ekuiti, sebaliknya merekodkan pembelian pada
Selasa dan Rabu, masing-masing berjumlah RM57.68 juta dan RM13.23 juta.
"Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM63.07 juta, manakala paling rendah direkodkan pada Khamis sebanyak RM25.96 juta," kata firma itu.
Dari segi penyertaan pelabur, ia menyaksikan nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur asing meningkat sebanyak 13.14%, sebaliknya pergerakan pelabur runcit dan pelabur institusi tempatan mengalami penurunan masing-masing sebanyak 1.06% dan 0.75%.
MIDF Research berkata, pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI menokok 0.3% untuk berakhir pada 1,549.12 mata.
"Ringgit juga mengukuh 0.22% sebelum mengakhiri dagangan Jumaat pada RM4.389 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya. - DagangNews.com








