KUALA LUMPUR 25 Mei - Untung bersih Bumi Armada Bhd. meningkat 14.1% bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 kepada RM185.76 juta berbanding RM162.79 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 2% kepada RM529.01 juta daripada RM539.74 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan meningkat 3.1% daripada RM513.1 juta berbanding suku keempat 2021 manakala untung bersih meningkat 57.4% daripada RM118.01 juta.
Peningkatan pendapatan itu disebabkan terutamanya ketersediaan kapal yang lebih tinggi untuk Armada Kraken FPSO pada suku pertama 2022 berbanding suku keempat 2021 dan penyediaan perkhidmatan kejuruteraan kepada salah satu kapal FPSO milik bersama kumpulan pada suku pertama.
Kumpulan telah menyelesaikan pelupusan anak-anak syarikatnya yang memiliki 3 kapal bagi kategori ais pada suku berkenaan dengan pertimbangan tunai sebanyak AS$44.5 juta, dengan hasil daripada penjualan itu digunakan untuk mengurangkan hutang kumpulan.
Kapal sokongan luar pesisir (OSV) tambahan juga dijual pada suku tersebut sejajar dengan inisiatif pengewangan aset kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, kumpulan memberi fokus kepada kecemerlangan operasi dan kecekapan kos yang telah menyokong prestasi kewangan yang kukuh pada suku pertama 2022.
"Oleh itu, kami akan terus memberi tumpuan pada keselamatan, kemampanan, kecemerlangan operasi dan disiplin kewangan.
"Kedudukan kewangan yang lebih baik ini membolehkan kami mengalihkan tumpuan untuk meninjau peluang baharu dalam pasaran yang disasarkan," katanya. - DagangNews.com








