TAIPING 13 Jan - Pusat peranginan Bukit Maxwell atau lebih dikenali sebagai Bukit Larut ditutup sepenuhnya kepada orang awam ekoran kejadian cerun runtuh petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, runtuhan dikesan berlaku di laluan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum Tea Garden Bukit Larut.
Pusat Peranginan Bukit Larut dalam hantaran menerusi laman Facebook memaklumkan, penutupan itu dibuat sebagai langkah segera demi keselamatan orang ramai.
Menurut kenyataan itu, langkah keselamatan sementara telah diambil oleh pihak JKR dengan memasang plastik menutupi kawasan rebak bagi mengelak kesan hakisan berterusan.
"Kon-kon dan pita keselamatan juga telah dipasang bagi menandakan kawasan laluan yang terjejas.
"Para pendaki diminta berhati-hati sepanjang masa dan diharapkan dapat melaporkan kepada pengurusan Bukit Larut sekiranya berlaku kejadian yang sama," ujar kenyataan itu.

Bagaimana pun, tiada kecelakaan dilaporkan manakala petugas-petugas kawasan peranginan itu yang terkandas menggunakan jalan pintas untuk turun ke kaki bukit.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan ringkas kepada media memberitahu, jangkaan tempoh penutupan akan dimaklumkan selepas dinilai oleh pihak JKR.



Pihak MPT juga menasihatkan orang awam agar menangguhkan sebarang perancangan untuk melakukan aktiviti di kawasan berisiko tinggi. - DagangNews.com








