KUALA LUMPUR 23 Ogos - Brahim’s Food Services Sdn Bhd dilaporkan memfailkan saman terhadap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), menuntut ganti rugi lebih RM8 juta atas dakwaan melanggar kontrak.
Syarikat katering itu mendakwa tindakan KTMB mengakibatkan BFS kerugian besar, berikutan perjanjian 2018 tidak dihormati.
Menurut pernyataan tuntutan bertarikh 5 Mac, kedua-dua pihak telah menandatangani kontrak di mana Brahim’s akan menyediakan perkhidmatan katering untuk semua perkhidmatan Sistem Tren Elektronik (ETS) dari 1 Mei 2017 hingga 30 April 2022.
Bagaimanapun, pada April 2018, Brahim’s mendakwa KTMB menghalang mereka daripada menyediakan perkhidmatan kelas ETS Platinum, satu langkah yang didakwa syarikat itu melanggar syarat perjanjian mereka.
Brahim’s berhujah bahawa dakwaan pelanggaran ini mengakibatkan kerugian bulanan sebanyak RM350,000 dari segi keuntungan, demikian laporan sebuah portal berita Inggeris.
“Oleh itu, defendan bertanggungjawab ke atas kehilangan pendapatan plaintif selama 23 bulan dari April 2018 hingga Februari 2020,” menurut pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Secara keseluruhan, Brahim’s menuntut RM8,050,000 sebagai pampasan kerugian, tidak termasuk ganti rugi dari Mac 2020 hingga Jun 2020 akibat kesan pandemik COVID-19.

Dalam pembelaannya, KTMB menafikan menghalang Brahim’s daripada menyampaikan perkhidmatan, sebaliknya mendakwa syarikat katering itu yang menamatkan perjanjian.
KTMB juga menegaskan Brahim’s tidak pernah membangkitkan kebimbangan tentang dihalang daripada menyediakan perkhidmatan bagi kelas ETS Platinum dan menunjukkan surat dari Mac 2020 di mana Brahim’s mengeluarkan notis 90 hari untuk menamatkan kontrak.
Pembelaan KTMB seterusnya mendedahkan bahawa pengendali rel itu sebelum ini memfailkan saman terhadap Brahim's di Mahkamah Sesyen Sepang, menuntut RM861,849.77 sebagai yuran belum dibayar di bawah skim perkongsian untung yang digariskan dalam perjanjian asal.
Kedua-dua pihak telah membuat pelbagai permohonan di mahkamah. KTMB telah meminta agar kes itu dipindahkan ke mahkamah sesyen Sepang untuk dibicarakan bersama pertikaian mereka yang berterusan. Brahim’s, sebaliknya, telah memohon untuk penghakiman ringkasan.
Kes itu dijadualkan untuk pengurusan kes pada 2 September, di hadapan hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, menurut sistem e-filing mahkamah. - DagangNews.com








