Boehringer Ingelheim Malaysia diiktiraf sebagai majikan terbaik global kali ketiga berturut-turut  | DagangNews Skip to main content

Boehringer Ingelheim Malaysia diiktiraf sebagai majikan terbaik global kali ketiga berturut-turut 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Boehringer Ingelheim telah dianugerahkan sebagai "Majikan Terbaik Global" untuk tahun ketiga berturut-turut oleh Top Employers Institute, salah satu daripada 15 majikan terbaik di dunia. 

 

Di peringkat serantau, ia diiktiraf sebagai Majikan Terbaik di seluruh ASEAN, Korea, Australia dan New Zealand (ASKAN).

 

Pensijilan ini menonjolkan komitmen syarikat ini untuk mengutamakan kesihatan mental pekerja, di samping memupuk bakat bagi menerapkan penetapan minda pencetus perubahan.

 

Di Malaysia, Boehringer Ingelheim telah memenangi anugerah ini selama lima tahun berturut-turut. Struktur kesejahteraan yang holistik, ASKANCares  menekankan sokongan fizikal, emosi dan sosial demi sebuah organisasi yang menarik dan bagus. 

 

Aktiviti-aktiviti seperti Hari Keluarga dan sukarelawan komuniti konsisten menerapkan 3C, berkongsi matlamat melalui komitmen, berbuat baik melalui belas ihsan dan kekal terhubung melalui hubungan. 

 

Sesi-sesi perkongsian pendidikan bulanan mengenai topik-topik seperti kesihatan mental, pengurusan tekanan dan pemakanan yang sihat turut menggalakkan pembangunan peribadi dan profesional yang berterusan serta menyemai rasa erat bersama pemimpin.

 

Pengurus Besar Boehringer Ingelheim (Malaysia, Singapura, Indonesia), Cheong Yee Kok berkata, pensijilan Top Employer memberi petanda yang baik untuk Boehringer Ingelheim dan kakitangannya menerusi komitmen untuk menjadikan syarikat ini sebagai tempat kerja yang hebat. 

 

"Ketika kami bangkit daripada pandemik, masa depan kerja buat kami adalah mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan mental. Kami percaya pendekatan holistik seperti ini menghasilkan pekerja terbaik dan memastikan mereka kekal terlibat dan produktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Sumber Manusia ASKAN Boehringer Ingelheim, David Serés pula berkata, pihaknya sentiasa mencabar diri untuk meninggikan standard kesejahteraan pekerja dan tekad melabur bagi membangunkan kemahiran mereka dan nilai yang boleh dibawa oleh mereka kepada organisasi ini dan masyarakat. 

 

Dengan berbuat demikian, kakitangan kami diperlengkapkan dengan kemahiran kepimpinan dan keusahawanan bagi meningkatkan hasil untuk pesakit dan haiwan," katanya. - DagangNews.com