KUALA LUMPUR 30 April - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Abd. Rahman Abu Bakar sebagai Penolong Gabenor berkuat kuasa 1 Mei 2021.
Sebagai Penolong Gabenor, beliau akan bertanggungjawab dalam bidang yang berkaitan dengan modal insan, yang termasuk Modal Insan Strategik, Pembangunan Modal Insan dan Perkhidmatan Modal Insan, jelas BNM dalam kenyataan hari ini.
Abd. Rahman memulakan kerjayanya di BNM pada 1992. Beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan termasuk Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Penyiasatan Khas, Pengawalan Insurans, Perancangan Strategik, Pengurusan Sumber Insan dan Ekonomi.
Beliau memegang ijazah sarjana muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Abd. Rahman mengambil alih jawatan Mohd. Adhari Belal Din, yang akan meninggalkan BNM pada 11 Mei 2021 setelah berkhidmat selama 14 tahun.
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menghargai khidmat bakti yang dicurahkan oleh Adhari dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan beliau dan berharap beliau terus berjaya dalam apa-apa jua bidang yang akan diceburi.
"Beliau telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan inisiatif modal insan di BNM dan rakan sekutu bank pusat selama lebih satu dekad.
"BNM yakin Abd. Rahman akan terus memajukan inisiatif kerja dan sumber manusia yang cemerlang yang telah dilaksanakan oleh Adhari," kata beliau. - DagangNews.com








