BNM akan naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3% tahun ini - kaji selidik Bloomberg | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM akan naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3% tahun ini - kaji selidik Bloomberg

KUALA LUMPUR 20 Feb - Bank Negara Malaysia (BNM) kemungkinan akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada suku akan datang sebelum mengakhiri dasar monetari yang ketat, demikian menurut laporan Bloomberg dalam tinjauannya dengan penganalisis ekonomi.

 

Malah, kaji selidik Bloomberg itu juga mendapati bank pusat akan mengekalkan kadar itu pada paras 3% sekurang-kurangnya selama setahun selepas peningkatan suku mata akhir bagi tempoh April hingga Jun.

 

Sebelum itu, kaji selidik itu mengunjurkan sekurang-kurangnya satu kenaikan pada suku ini. Bagaimanapun, BNM membuat keputusan mengejutkan dengan mengekalkan paras OPR pada 2.75% selepas kadar itu dinaikkan empat kali berturut-turut sepanjang 2022.

 

Namun, dalam kaji selidik terkini itu, penganalisis ekonomi menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar itu sekali lagi dalam mesyuarnya bulan depan.

 

Berdasarkan kaji selidik itu, unjuran inflasi dikurangkan kepada 3.6% pada suku pertama 2023 daripada unjuran 4% sebelum ini, manakala unjuran purata tahunan dinaikkan kepada 3% tahun ini dan 2.3% pada 2024.

 

Lapor Bloomberg lagi, anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2023 juga tidak berubah pada 4% manakala prospek pada 2024 meningkat sedikit kepada 4.6% daripada 4.5% sebelumnya.

 

Ini adalah selepas negara mencatatkan perkembangan cemerlang 8.7% tahun lalu, kadar terpantas sejak 2000.

 

Ahli Ekonomi DBS Bank Ltd., Han Teng Chua berkata, ekonomi Malaysia yang terbuka dan bergantung kepada perdagangan kekal di bawah pengaruh ketidaktentuan luar global terutama daripada ekonomi maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) di sebalik pembukaan semula China yang lebih awal daripada jangkaan dan lantunan semula yang akan datang seharusnya memberikan sedikit penampan tahun ini.

 

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi BIMB Securities, Imran Ibrahim berkata, prospek kekal optimistik tetapi berhati-hati, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan penggunaan swasta yang bertambah baik.

 

Beliau menjangkakan dasar monetari yang lebih ketat di seluruh dunia, peningkatan ketegangan geopolitik dan permintaan global yang lebih lemah daripada jangkaan sebagai antara risiko penurunan. - DagangNews.com