Bintai Kinden kembang perniagaan dalam sektor O&G | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintai Kinden kembang perniagaan dalam sektor O&G

KUALA LUMPUR 3 Jan - Bintai Kinden Corp. Bhd. menerusi unitnya, Bintai Energy Sdn. Bhd. (BESB), dianugerahkan beberapa siri subkontrak oleh Petro Flanges & Fittings Sdn. Bhd. (PFF) dan pelbagai pelanggan yang disyorkan oleh PFF.

 

Ia melibatkan pembekalan paip keluli karbon/keluli tahan karat gred tinggi, injap dan aksesori paip kepada pelbagai perniagaan minyak dan gas (O&G) bernilai RM4 juta.

 

Nilai subkontrak terkumpul yang dicagarkan melalui PFF di mana BESB adalah syarikat tujuan khas yang dikenal pasti untuk pembekalan bahan kepada industri O&G kini berjumlah RM12.9 juta. 

 

PFF ialah pembekal paip, bebibir, kelengkapan, injap dan peralatan berkaitan O&G lain.

 

Sementara itu, dalam pengumuman berasingan, kumpulan juga memaklumkan BESB telah menerima lesen yang diluluskan sebagai pengedar kabel instrumentasi dan kabel am berhubung dengan kuasa dan kawalan daripada Petronas. Lesen tersebut berkuat kuasa mulai 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2025.

 

Bintai Kinden juga mengumumkan BESB bekerjasama dengan Puncak Logam Sdn. Bhd. (PLSB) untuk memastikan masa penghantaran produk yang lebih cepat kepada pelanggan melalui penyimpanan produknya, termasuk paip, kelengkapan, bebibir, gasket, bolt stud dan bahan struktur dan sebarang barangan lain di kemudahan PLSB di samping membolehkan PLSB mendapatkan sumber untuk pembeli di Malaysia bagi produk ini.

 

 

Azri Azerai
Azri Azerai

 

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, penganugerahan terbaharu subkontrak kepada BESB adalah sebahagian daripada perkongsian dan jalinan yang diusahakan untuk mengembangkan perniagaan berkaitan O&G. 

 

Katanya, ia termasuk mencari peluang dan perkongsian dengan syarikat yang berkongsi visi yang sama seperti Bintai Kinden, di Asia Tenggara. 

 

"Kami kini berkembang ke Indonesia melalui rakan kongsi tempatan di negara ini. Malah, kami juga gembira dengan pemberian lesen oleh Petronas yang membolehkan kami membekalkan produk dan perkhidmatan kepada perniagaan O&G di Malaysia. Ini sudah tentu akan menjadi rangsangan kepada cabang O&G kami," katanya. - DagangNews.com