Berapa kos sebenar kerajaan 'bail out' projek LCS bermasalah? | DagangNews Skip to main content

Berapa kos sebenar kerajaan 'bail out' projek LCS bermasalah?

Isu kelewatan pembinaan LCS tidak akan selesai sehingga kapal pertama dapat disiapkan.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

USAHA untuk menyelamatkan projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM memasuki fasa seterusnya apabila kerajaan ditawarkan membeli saham projek tersebut.

 

Ini menerusi Perstim Industries Sdn. Bhd. (PISB), anak syarikat milik penuh tidak langsung Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC) yang mencadangkan untuk melupuskan 27,000,001 saham biasa dalam Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS).

 

Saham tersebut ditawarkan kepada Ocean Sunshine Bhd (OSB) iaitu milik Menteri Kewangan Inc (MOF Inc) pada harga RM334.73 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, cadangan pelupusan saham BHIC itu bertujuan untuk menyokong keputusan kerajaan bagi memastikan projekLCS siap.

 

 

 

 

Kapal
Petugas melakukan kerja-kerja pada salah sebuah kapal LCS (gambar media sosial).

 

Kapal

 

OSB sebelum ini bercadang mengambil alih 20.77% kepentingan PISB dalam LUNAS pada harga RM1.

 

Pengambil alihan saham ini adalah sebahagian daripada penstrukturan semula bagi memastikan LUNAS dapat menyiapkan pembinaan dan penghantaran LCS kepada TLDM dalam tempoh masa yang dipersetujui.

 

Ia seperti yang ditetapkan dalam kontrak LCS.

 

Apa yang difahami, dengan pengambil alihan sepenuhnya LUNAS oleh kerajaan melalui OSB maka segala beban dan tanggungjawab untuk menyiapkan projek LCS diserahkan kepada kerajaan.

 

Ia bukan lagi beban kepada BHIC dan juga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang sahamnya.

 

Kapal
Rupa bentuk kapal LCS pertama semasa hari pelancaran pada tahun 2017 yang sebenarnya masih belum siap.

 

Timbul persoalan dalam kalangan umum ketika ini ialah wajarkah kos berbilion ringgit ini ditanggung kerajaan termasuklah melalui cukai rakyat demi menyelamatkan projek yang bermasalah.

 

Boustead Naval Shipyard (BNS) iaitu nama lama LUNAS sebagai pembina LCS sebelum ini menanggung liabiliti kira-kira RM848.45 juta yang perlu dibayar kepada pelbagai pihak.

 

Ini tidak termasuk liabiliti lain LUNAS dianggarkan lebih RM300 juta yang mana jika dicampur kesemuanya jumlah yang perlu ditanggung untuk mengambil alih LUNAS daripada BNS adalah lebih RM1 bilion.

 

Pada Januari lalu, OSB memaklumkan memerlukan RM190.15 juta untuk membiayai modal kerja kontraktor LCS kepada LUNAS menerusi terbitan saham.

 

Kapal

 

Kos projek LCS ketika ini adalah RM11.2 bilion, daripada jumlah itu sebanyak RM1 bilion telah digunakan oleh BNS untuk membayar hutang lama serta menaik taraf kemudahan di limbungan.

 

Malangnya, sehingga tahun lalu belum ada sebuah kapal diserahkan kepada TLDM, malah jumlah LCS dikurangkan daripada 6 kepada hanya 5.

 

Walaupun keputusan menyelamatkan projek LCS telah diputuskan oleh kerajaan, namun secara logiknya di atas kertas kerajaan juga terpaksa menanggung beban bagi menyiapkan projek yang gagal.

 

Sehingga kini Kementerian Pertahanan bertegas bahawa projek LCS mesti disiapkan demi kepentingan strategik dan keselamatan negara.

 

Kapal
Majlis menandatangani memorandum persefahaman memulihkan projek LCS yang dimeterai semasa LIMA di Langkawi.

 

Kerajaan menghidupkan semula projek LCS selaras dengan Rancangan Transformasi Armada 15 hingga 5 oleh TLDM.

 

Sebelum projek ini diselamatkan kerajaan sebanyak RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus. - DagangNews.com