Benar-benar menjadikah kerajaan negeri Sarawak beli Affin Bank? | DagangNews Skip to main content

Benar-benar menjadikah kerajaan negeri Sarawak beli Affin Bank?

Menara Affin Bank di TRX, Tun Razak Exchange, Jalan Tun Razak.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SPEKULASI kerajaan negeri Sarawak mengambil alih saham utama di dalam Affin Bank berlegar hangat dalam kalangan pemerhati industri dan pelabur saham.

 

Ada pihak yakin perkara tersebut hanya menunggu lampu hijau Bank Negara Malaysia dan tidak timbul isu politik kerana kerajaan negeri yang dominan seperti kerajaan Sarawak tiada terhalang oleh apa-apa kuasa tersembunyi untuk merealisasikan matlamat memiliki sebuah bank.

 

TERKINI 30 JAN 2024: Urus niaga tambah saham dalam Affin Bank bakal diumum dalam masa terdekat - Premier Sarawak | DagangNews

 

Malah, spekulasi itu kian hangat apabila diketahui umum mengenai Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg bakal hadir dalam satu majlis anjuran Affin Bank di bangunan baharunya Menara Affin di TRX, Tun Razak Exchange pada 30 Januari 2024.

 

Affin Bank dijadualkan mengadakan ‘Masa Hadapan Pasaran Malaysia 2024 – Menganjak Malaysia Ke Hadapan’ Abang Johari sebagai tetamu kehormat bersama presiden dan ketua pegawai eksekutif bank itu Datuk Wan Razly Abdullah.


 

Tan Sri Abang Johari Openg
                          Tan Sri Abang Johari Openg

 


Bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku atau ganjil untuk sebuah bank menjemput seorang ketua menteri sesebuah negeri untuk hadir, apatah lagi jika pembentangan prospek itu turut menggariskan prospek pelaburan negeri itu.

 

Namun, sejak bulan lalu, kisah hasrat kerajaan negeri Sarawak berbincang dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sudah tersebar luas. Umum mengetahui LTAT sedang menyusun semula entiti korporat yang dimilikinya terutama selepas penyahsenaraian Boustead Plantation pada 23 Januari lalu.

 

Affin yang dahulunya dikenali sebagai Perwira Affin Bank, adalah bank dimiliki oleh LTAT yang menguasai 33.2% ekuiti sebelum melepaskan 4.95% sahamnya pada harga RM221.74 juta kepada kerajaan Sarawak pada April tahun lalu.

 

Sebanyak 112.56 juta sahamnya dijual melalui urus niaga perniagaan terus pada harga RM1.97 sekeping kepada pejabat setiausaha kewangan negeri.

 

Perjanjian itu difahamkan dikaitkan dengan cadangan LTAT menswastakan Boustead Holding Bhd, yang diumumkan pada awal Mac.

 

LTAT, yang memegang 59.4% kepentingan dalam Boustead ketika itu, dilaporkan perlu mengeluarkan sejumlah RM703.2 juta pada 85.5 sen sesaham untuk menyelesaikan urusan itu.


 

ltat

 


Sebaliknya, Boustead Holdings memiliki 20.9% kepentingan dalam Affin Bank. Ini bermakna jika LTAT mengambil alih sepenuhnya Boustead tanpa melepaskan mana-mana saham Affinnya, ia akan meningkatkan kepentingan efektifnya dalam bank kepada 54.1%.

 

Senario ini memerlukan LTAT untuk mendapatkan kelulusan menteri kewangan, atas cadangan BNM, sebelum melengkapkan penswastaan Boustead seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 87 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

 

Seksyen 87 Akta tersebut menyatakan: “Tiada seorang pun boleh membuat perjanjian atau perkiraan untuk memperoleh apa-apa kepentingan dalam saham orang berlesen yang, jika perjanjian atau perkiraan itu dijalankan, dia akan memegang (bersama-sama dengan apa-apa kepentingan dalam saham orang berlesen itu yang telah dipegang oleh orang itu) agregat lebih daripada 50% kepentingan dalam saham orang berlesen itu, tanpa mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada menteri, atas syor Bank Negara”.

 

Oleh itu, dengan melupuskan 4.95% pegangannya dalam Affin, LTAT tidak memerlukan kelulusan kawal selia untuk menjalankan penswastaan Boustead kerana ia tidak akan memegang lebih daripada 50% kepentingan berkesan dalam bank perdagangan sekiranya pelaksanaan sedemikian.

 

Affin Bank adalah bank perdagangan kedua terkecil di Malaysia, telah lama menjadi `angsa emas' kepada LTAT. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bank itu telah memperoleh beberapa keuntungan yang mengagumkan, termasuk RM1.3 bilion pada FY2022, dan RM 526.93 juta pada FY2021.


 

affin

 


Tidak tepat sasar 20% saham

Sebelum ini, Premier Sarawak enggan mengulas mengenai kemungkinan pembelian saham oleh kerajaan negeri daripada LTAT ini. Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa 20 peratus kepentingan kerajaan Sarawak yang sepatutnya disasarkan adalah tidak tepat.

 

“Saya tidak berani mengulas kerana bank itu adalah syarikat tersenarai. Saya boleh memberitahu anda bahawa angka seperti yang dilaporkan dalam media adalah tidak betul,” katanya dipetik sebagai berkata pertengahan Januari ketika ditanya mengenai perkara itu.

 

Langkah kerajaan Sarawak juga berkaitan dengan hasratnya terlibat di dalam evolusi bank digital. Permohonan kerajaan negeri untuk menubuhkan bank digital tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia. Bagaimanapun, Abang Johari dilaporkan berkata, "sesuatu" tanpa diduga tiba-tiba datang kepada kerajaan negeri.

 

"Mari kita tunggu (dan lihat) apa yang akan berlaku," tambahnya.


 

affin

 


Sebelum ini, media perniagaan memetik sumber melaporkan bahawa Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dikatakan hampir memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) bagi perjanjian memperoleh pegangan tambahan dalam Affin Bank Bhd daripada LTAT.

 

Kerajaan negeri Sarawak dilaporkan berminat untuk memperoleh tambahan 15% dalam Affin daripada dana angkatan tentera yang mempunyai 29.7% langsung dalam kumpulan perbankan manakala unit milik penuhnya Boustead Holdings Bhd mempunyai 20.65% kepentingan.

 

Apakah akan ada pengumuman yang dinanti-nantikan esok daripada Premier Sarawak dan Affin Bank, perkembangan ini menjadi perhatian penganalisis dan para pelabur saham di Malaysia. - DagangNews.com