Bekas Gabenor BNM dilantik Pengerusi Hextar Technologies | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Gabenor BNM dilantik Pengerusi Hextar Technologies

Tan Sri Muhammad Ibrahim
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Jan - Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Hextar Technologies Solutions Bhd. berkuat kuasa hari ini. 

 

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Iskandar Sarudin berikutan peletakan jawatannya setelah dilantik sebagai pengerusi pada November 2020, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Iskandar sebelum itu menganggotai ahli lembaga pengarah syarikat pada April 2015 sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

 

Syarikat turut mengumumkan peletakan jawatan Teh Li King sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif setelah dilantik menganggotai lembaga pengarah pada Mac 2021.

 

Selain itu, Hextar turut mengumumkan pelantikan Datuk Ong Choo Meng (atau dikenali sebagai Datuk Eddie) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan manakala Choo Joon Keong dilantik sebagai Timbalan CEO dan Pengarah Eksekutif.

 

Datuk Eddie ialah pemegang saham utama syarikat dan merupakan seorang pemimpin yang berwawasan dan memainkan peranan penting dalam membawa hala tuju pertumbuhan perniagaan serta strategi pelaburan dan pengembangan kumpulan syarikat Hextar sejak 18 tahun lalu.

 

Di bawah kepimpinannya, kumpulan Hextar berkembang dengan pantas dan kini memegang kepentingan besar dalam sembilan syarikat tersenarai dengan gabungan permodalan pasaran melebihi RM8 bilion.

 

Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Eksekutif Hextar Global Bhd. serta pengarah bukan eksekutif bukan bebas Hextar Industries Bhd. dan Hextar Healthcare Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Rubberex Corporation (M) Bhd.). Baru-baru ini, beliau melepaskan jawatan pengarahnya dalam syarikat-syarikat berkenaan.

 

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya, Muhammad yang merupakan Gabenor BNM bagi tempoh 2016 hingga 2018 berkata, idea dan konsep yang dibawakan syarikat adalah berpandangan ke hadapan dan praktikal.

 

"Apabila Datuk Eddie mendekati saya dengan cadangan perniagaannya dan meminta sokongan dan bimbingan, saya merasakan idea dan konsep yang didokongnya adalah berpandangan ke hadapan dan praktikal, jadi saya bersetuju untuk mengambil peranan dan menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa," katanya. - DagangNews.com