KUALA LUMPUR 24 Mac - Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 sebanyak RM700 akan disalurkan kepada penjawat awam yang layak pada 17 April ini.
Bantuan tersebut akan dibayar kepada penjawat awam gred 56 ke bawah yang masih berkhidmat sehingga 17 April 2023 termasuk lantikan 87 kontrak.
Pesara perkhidmatan awam pula akan menerima BKKA sebanyak RM350.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed berkata, BKKA tahun ini turut diperluaskan kepada pesara kerajaan berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Simpanan Pekerja, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.
"Bagi pesara dan veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara dan masih berkhidmat pada 17 April 2023 layak menerima RM700," katanya dalam kenyataan.
BKKA adalah bantuan hari raya bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pemberian BKKA adalah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya. - DagangNews.com








