Bajet 2023: RM10 bilion dana pinjaman disediakan galak aktiviti automasi dan pendigitalan PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bajet 2023: RM10 bilion dana pinjaman disediakan galak aktiviti automasi dan pendigitalan PKS

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 7 Okt - Sejumlah RM10 bilion dana pinjaman disediakan untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Beliau berkata, langkah itu juga untuk menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

 

"Selain pembiayaan mikro, kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana.

 

"Melalui Bank Negara Malaysia, RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Bernama.

 

Katanya, bagi usahawan Bumiputera, kerajaan melalui TERAJU dengan dana RM135 juta akan menyediakan kemudahan pembiayaan sokongan antaranya di bawah Dana Kemakmuran Bumiputera. 

 

Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM200 juta turut disediakan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bagi menyediakan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan untuk Bumiputera yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan.

 

 

bajet

 

 

Sebagai pelengkap kepada inisiatif pembiayaan, katanya kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian duti setem sebanyak 100% ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman atau pembiayaan sehingga 2024. - DagangNews.com