KUALA LUMPUR 13 Dis - Kerajaan digesa mencari jalan penyelesaian untuk menangani kenaikan harga bahan binaan bagi memastikan pembinaan rumah adalah mampu milik dalam pembentangan semula Bajet 2023, demikian menurut Juwai IQI.
Ketua Segmen Bumiputera Juwai IQI, Muhazrol Muhamad berkata, apabila bahan binaan sangat mahal, sukar untuk membina rumah mampu milik dengan cara yang mampan dari segi kewangan.
Jelasnya, margin bagi projek mampu milik sudah pun rendah, justeru, kos pembinaan yang tinggi boleh menyebabkan projek itu tidak dapat dibina sepenuhnya.
"Salah atu penyelesaian adalah membangunkan pengeluaran domestik bahan binaan utama. Ini amat menarik kerana kenaikan kos bahan binaan disebabkan faktor antarabangsa seperti pencerobohan Rusia ke atas Ukraine," katanya dalam kenyataan hari ini.
Indeks harga unit untuk keluli pada September turun kira-kira 2% daripada paras tertinggi pada Ogos tetapi masih 9% lebih tinggi berbanding September 2021.
Kos bahan binaan yang tinggi adalah salah satu faktor mempengaruhi pasaran perumahan dan memberi kesan serius terhadap pembinaan projek baharu pada 2022.
Namun, tekanan ini mulai pulih, dengan harga keluli, batu bata, dan sebagainya kini jatuh di bawah parasnya.
Muhazrol menjangkakan harga bagi bahan binaan utama kekal tinggi pada 2023 berbanding paras dalam tempoh jangka panjang.
Katanya, ia boleh membantu mengekang pembinaan bekalan baharu, justeru, secara tidak langsung membantu pemaju mengosongkan lagi inventori mereka yang tidak terjual.
"Industri hartanah menaruh harapan agar kerajaan baharu terus menyediakan pengurusan kewangan dan ekonomi yang kukuh.
"Ini kerana persekitaran makro yang stabil akan memberikan pasaran hartanah asas untuk kestabilan dan pertumbuhan pada separuh kedua 2023 dan seterusnya," jelasnya.
Beliau mengunjurkan harga hartanah akan kekal stabil pada separuh pertama 2023 dengan kenaikan harga kemungkinan bermula pada separuh kedua. -DagangNews.com








