Bajet 2023: Airbnb cadang rangka kawal selia penginapan sewaan jangka pendek | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bajet 2023: Airbnb cadang rangka kawal selia penginapan sewaan jangka pendek

Mich Goh
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept - Airbnb berkongsi tiga cadangan untuk pertimbangan kerajaan bagi Bajet 2023, antaranya mewujudkan rangka kerja kawal selia kebangsaan yang jelas dan praktikal untuk penginapan sewaan jangka pendek (STRA).

 

Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, Airbnb menyeru kerajaan untuk mengiktiraf aktiviti dan menguatkuasakan rangka kerja STRA kebangsaan yang jelas dan konsisten. 

 

Beliau berkata, tinjauan Airbnb baru-baru ini mendedahkan bahawa hampir 60% hos di Malaysia menggunakan pendapatan mereka sebagai hos untuk menampung peningkatan kos sara hidup termasuk peningkatan perbelanjaan untuk makanan dan keperluan lain. 

 

"Memperkenalkan rangka kerja kawal selia STRA yang jelas dapat memacu tahap pertumbuhan seterusnya untuk sektor STRA, dan mengiktiraf usahawan pelancongan mikro tempatan dan industri yang lebih luas sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.

 

"Cadangan kedua ialah mengambil kira hos-hos STRA Airbnb dalam insentif utama yang disediakan kepada penggiat industri pelancongan tradisional. Ini bagi memastikan semua penggiat industri penginapan pelancongan mendapat manfaat daripada insentif kerajaan.

 

"Airbnb memohon beberapa insentif utama, yang pada masa ini hanya dikhususkan untuk penggiat industri tradisional dalam sektor pelancongan, diperluaskan kepada hos-hos Airbnb (individu dan PKS)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mich berkata, cadangan ketiga ialah memperkenalkan insentif hijau untuk industri pelancongan, yang mana memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050. 

 

 

airbnb

 

 

"Airbnb menggalakkan kerajaan untuk memperkenalkan insentif hijau, seperti geran khas kepada pengendali perjalanan untuk mengurangkan jejak karbon mereka, bagi mempercepatkan penggunaan amalan hijau dalam kalangan penggiat industri dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan yang menarik," katanya.

 

Katanya, mereka amat berharap bahawa inisiatif yang diperkenalkan dalam Bajet 2023 akan memberi manfaat kepada semua penggiat industri pelancongan, termasuk komuniti hos Malaysia mereka, yang kebanyakannya adalah rakyat tempatan dan usahawan hospitaliti mikro. 

 

"Kami bersedia dan komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mencipta dan melaksanakan penyelesaian yang menyokong ekonomi perjalanan dan pelancongan ke arah memacu pemulihan industri pelancongan," katanya.

 

Tambahnya, Airbnb menyokong komitmen kerajaan untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan memacu ketahanan ekonomi melalui langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang yang disasarkan. 

 

"Kami percaya bahawa ini akan memastikan kestabilan masa depan ekonomi Malaysia dalam tempoh pemulihan yang kritikal, sekali gus memacu usaha ke arah masa depan yang lebih mampan," katanya. - DagangNews.com