KUALA LUMPUR 20 Feb - Langkah pembaharuan cukai yang bakal dilaksanakan kerajaan dalam Bajet 2023 akan terus menjadi tumpuan semua pihak memandangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak mungkin dilaksanakan semula.
Namun, Maybank Investment Bank (IB) mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu bahawa keputusan kerajaan tidak memperkenalkan semula GST, sama ada berhubung dengan Bajet 2023 atau hanya sebahagian daripada langkah kerajaan dalam meningkatkan hasil.
Pada 14 Februari lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST dan cukai kepenggunaan berasas luas yang lain.
Sebaliknya, langkah lain akan diambil dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan hutang kerajaan yang kini sudah mencecah RM1.5 trilion, mewakili 82% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Antara langkah itu, termasuklah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti dilakukan dalam isu subsidi elektrik.
Menurut Maybank IB, ketidaktentuan mengenai cukai tidak langsung terutama cukai kepenggunaan seperti GST, akan terus meningkatkan spekulasi mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk menambah hasil menerusi cukai langsung.
Antaranya, penambahbaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan semula pada 2018 bagi menggantikan GST (cukai ini dimansuhkan selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14) boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada pengembangan asas dan liputan cukai tersebut.
Selain itu, pelaksanaan sekali sahaja Cukai Makmur dalam Bajet 2022 membuka ruang kepada kerajaan untuk memperluaskan lagi akta levi keuntungan 'durian runtuh' sedia ada yang kini diguna pakai untuk sektor perladangan, yang mana Cukai Makmur ini mungkin boleh diperluaskan lagi kepada kadar cukai bagi keuntungan luar biasa.
Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai pilihan lain untuk menambah hasil menerusi cukai keuntungan modal (CGT).
"Berdasarkan kepada semua pilihan ini, ia banyak mencetuskan persoalan mengenai cukai ke atas keuntungan dan kekayaan. Diteruskan tetapi tidak stabil, dan adakah bergantung kepada hasil berkaitan minyak dan gas?
"Buat masa ini, apa yang pasti ialah langkah kerajaan untuk mengguna pakai cukai minimum global (GMT) pada kadar 15% terhadap syarikat multinasional," katanya dalam nota kajian hari ini.

Bajet 2023 akan dibentang semula di Parlimen pada 24 Februari ini susulan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentang semula itu tidak akan terikat dengan apa yang dibentang oleh kerajaan terdahulu pada 7 Oktober 2022 (yang tidak sempat diluluskan setelah Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15).
Maybank IB menjangkakan Bajet 2023 akan menyasarkan defisit kepada KDNK pada -5% berbanding sasaran yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu, -5.5%.
Firma itu melihat kerajaan juga akan meneruskan bajet yang mesra rakyat seperti mana dalam Bajet 2023 1.0 terdahulu, antaranya pemotongan cukai pendapatan persendirian sebanyak 2% kepada pembayar cukai berpendapatan pertengahan.
"Di samping itu, kami berpendapat, kerajaan akan mengekalkan subsidi bahan api dalam tempoh lebih setahun ekoran kebimbangan orang ramai dan perniagaan terhadap kos sara hidup dan menjalankan perniagaan disebabkan tekanan inflasi khususnya inflasi makanan.
"Sementara itu, kenaikan harga minyak mentah menunjukkan Petronas akan meraih satu lagi tahun kewangan dengan keuntungan luar biasa, dan mampu untuk membayar dividen atau dividen khas untuk membiayai subsidi bahan api," jelasnya. - DagangNews.com








