KUALA LUMPUR 15 Mac - Peringkat inkubasi Kobay Technology Bhd untuk dua projek baharunya yang mengheret bahagian pembuatan tidak akan menjadi masalah lagi selepas ini kerana kilang-kilang itu bersedia untuk memulakan pengeluaran.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) berkata, bahagian pembuatan syarikat itu melemah sebanyak 21% tahun atas tahun (YoY) untuk suku kedua (Q2) tahun kewangan 2023 (FY23) berikutan kelembapan pasaran semikonduktor dan pesanan baharu yang lemah.
“Selain itu, ini turut dipengaruhi oleh dua projek baharu dalam peringkat inkubasi iaitu perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan rangka solar yang menanggung kos pra-operasi kira-kira RM6 juta bagi dua suku lepas.
"Walaupun unjuran yang agak sihat untuk bahagian aeroangkasa dan minyak dan gas, Kobay menjangka prestasi pembuatan akan terjejas dalam keadaan ekonomi global yang lemah," katanya dalam satu nota hari ini.
Keputusan syarikat untuk Q2 FY23 meleset anggaran HLIB Research dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM10 juta, turun 29% YoY, yang menjadikan jumlah separuh pertamanya kepada RM21 juta, turun 12% YoY.
Bagi segmen solar Kobay, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa syarikat itu bersedia untuk menerokai pembuatan bingkai aluminium untuk panel solar untuk perniagaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
Kobay telah pun mengubah suai dan memasang loji seluas 15 ekar khusus untuk perniagaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
“Kelewatan sebelum ini daripada kelulusan pihak berkuasa telah diperbetulkan, dan kilang itu kini berjaya disambungkan kepada kuasa elektrik selepas naik taraf pencawang oleh Tenaga Nasional Bhd.
"Barisan anodizing telah disediakan, dan pada masa ini, kilang itu bersedia untuk menjalankan pengeluaran," katanya.
Permintaan untuk segmen pelayan data lanjutannya telah lemah disebabkan penurunan harga mata wang digital.
HLIB Research menyatakan bahawa permintaan akan meningkat lebih kukuh sebaik sahaja harga bitcoin pulih kepada AS$26,000-AS$27,000.
"Daripada panduan Kobay, keterlihatan pesanan untuk tiga bulan akan datang masih kabur berikutan permintaan yang lemah," katanya.
Sementara itu, pembangunan hartanahnya dijangka memberikan prestasi positif berikutan penyiapan projek sulungnya di Langkawi.
Bahagian farmaseutikal akan terus berusaha untuk meluaskan rangkaian produknya, bersama-sama dengan usaha kawalan kos untuk meningkatkan keuntungan dan daya saing pasaran.
HLIB Research mengulangi gesaan 'Beli' ke atas saham itu dengan harga sasaran RM4. - DagangNews.com








