Axis REIT jana RM175 juta daripada langkah penempatan persendirian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis REIT jana RM175 juta daripada langkah penempatan persendirian

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Dis - Axis Real Estate Investment Trust (REIT) telah menyelesaikan langkah penempatan persendiriannya dengan harga terbitan ditetapkan pada RM1.75 seunit.

 

Ia ditentukan pada akhir proses 'book building' yang menyaksikan unit penempatan telah terlebih langgan.

 

Harga itu mewakili diskaun 3.06% kepada harga pasaran purata wajaran lima hari RM1.8052. 

 

Pada harga seunit RM1.75, Axis REIt telah mengumpul sebanyak RM175 juta daripada langkah berkenaan.

 

Pengumpulan dana itu akan mengukuhkan kunci kira-kira Axis REIT dengan menurunkan nisbah pembiayaan yang akan menyediakan ruang mencukupi untuk melaksanakan pengambilalihan pada masa akan datang.

 

Sejajar dengan langkah penempatan persendirian itu, Axis REIT pada 15 Disember 2022 telah mengisytiharkan agihan pendapatan interim keempat sebanyak 2.09 sen seunit bagi tempoh 1 Oktober hingga 22 Disember 2022. Agihan pendapatan interim keempat itu dibayar pada 20 Januari 2023.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT, Leong Kit May berkata, penempatan persendirian itu adalah sejajar dengan strategi pengurusan modal dan pertumbuhan kumpulan.

 

"Kami akan meneruskan usaha memperoleh aset hartanah yang berkualiti tinggi dengan pendapatan sewa berulang yang kukuh, bagi mewujudkan pulangan yang stabil dan mampan kepada pemegang unit," katanya.

 

Langkah penempatan persendirian itu dikendalikan Maybank Investment Bank dan CIMB Investment Bank, sebagai ejen penempatan bersama. -DagangNews.com