KUALA LUMPUR 28 April - Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang baharu susulan peletakan jawatan Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar.
Pelantikan itu adalah berkuat kuasa selama 3 tahun mulai 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025 selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498], menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.
Syed Zaid meletakkan jawatan tersebut berkuat kuasa 31 Mei 2022, setelah berkhidmat di agensi kawal selia itu sejak 1 November 2018.
"Sehubungan itu, Kementerian Kewangan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan, serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif," katanya.
Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta memastikan kesinambungan pentadbiran SC, Kementerian Kewangan yakin Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan suruhanjaya ini mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.
Beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam. serta mempunyai kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.
"Antara pengalaman beliau termasuklah sebagai Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, bekas ahli Lembaga Pengarah SC, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Bhd. dan Ketua Pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan (LOFSA).
"Malah, beliau juga merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada 2006 hingga 2013," katanya. - DagangNews.com








