KUALA LUMPUR 2 Dis - Konvensyen Tahunan Produktiviti dan Inovasi (ArISe) 2021 berjaya menjimatkan kos sebanyak RM490 juta tahun ini menerusi 220 projek sektor awam dan swasta tahun ini.
Konvensyen itu yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) secara maya pada 15 hingga 18 November menyaksikan penyertaan 116 organisasi dari seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, melalui platform ArISe, MPC terus menggalakkan industri untuk mencipta dan mengadaptasi hasil inovasi bagi mempersiapkan negara ke arah revolusi Industri 4.0.
Katanya, seiring dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta menambah baik proses pengeluaran dan operasi perlu dipergiatkan bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti.
“Inisiatif ini juga dapat membangunkan bakat masa hadapan yang dilengkapi dengan pengetahuan dalam mengharungi landskap ekonomi global yang sangat kompetitif dan dinamik.
"Malah turut menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga 28 tahun ini berbanding di tangga ke-30 pada 2020 bagi indikator Kemahiran Digital atau Teknologi Sedia Ada yang dilaporkan dalam World Competitiveness Yearbook 2021," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Penganugerahan ArISe 2021, kelmarin.
Seramai 1,500 peserta berpeluang berkongsi dan menanda aras idea kreatif yang dibentangkan pada konvensyen tersebut.
Pada itu, kumpulan Smart Forward dari Majlis Perbandaran Kulim Kedah, mengungguli Anugerah Keseluruhan manakala Anugerah Pengerusi pula dimenangi kumpulan Excite dari Petronas Gas Bhd. dan Anugerah Ketua Pengarah diraih Perodua Sales Sdn. Bhd.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pelbagai projek yang dipamerkan sepanjang 4 hari konvensyen ArISe 2021 telah mengaplikasikan teknologi digital dalam meningkatkan kecekapan bekerja dan mengelakkan pembaziran.
Katanya, ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi termaju dalam kalangan industri.
“Penganjuran ArISe merupakan satu inisiatif untuk mempamerkan penambahbaikan produktiviti dan inovasi bagi menerapkan minda produktif di kalangan warga pekerja dalam organisasi.
"Projek penambahbaikan yang mereka laksanakan melalui pelbagai pendekatan telah berjaya membangun dan melatih pekerja untuk sentiasa menyumbang idea dan mengadaptasi hasil inovasi secara sistematik," katanya.
Melalui konvensyen kebangsaan ArISe 2021, MPC turut menyediakan platform untuk bertanding ke peringkat antarabangsa pada tahun hadapan. - DagangNews.com








