Ansuran bulanan Ihsan-i MBSB Bank berubah mengikut kadar OPR semasa, tidak melebihi harga jualan | DagangNews Skip to main content

Ansuran bulanan Ihsan-i MBSB Bank berubah mengikut kadar OPR semasa, tidak melebihi harga jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - MBSB Bank Berhad menjelaskan bahawa ansuran bulanan pembiayaan peribadi patuh syariah Ihsan-i, iaitu kemudahan di bawah program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) boleh bertambah atau berkurang tertakluk kepada perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

 

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun berkata jumlah keseluruhan ansuran bulanan yang dibayar tidak boleh melebihi harga jualan.

 

Katanya, harga jualan itu akan dimaklumkan kepada pelanggan di dalam tawaran pembiayaan yang perlu dipersetujui.

 

"Merujuk kepada hantaran media sosial yang tular semalam, baki pembiayaan yang tertera sebanyak RM35,601.12 itu adalah harga jualan berdasarkan kepada kadar keuntungan siling 15% bagi tempoh 10 tahun.

 

"Namun sekiranya OPR tidak berubah sepanjang tempoh  pembiayaan dan kadar keuntungan kekal pada 4.5%, jumlah ansuran bulanan yang akan dibuat adalah RM22,749.48 dan bukannya dua kali ganda," katanya.

 

mbmsb

 

Ihsan-i MBSB Bank menggunapakai konsep Tawarruq dan antara kelebihannya termasuk  ansuran bulanan yang rendah pada tahun pertama kerana pelanggan hanya perlu membayar bayaran keuntungan, tiada caj proses ataupun caj penamatan awal. 

 

Ihsan-i juga akan  memberi rebat atau Ibra’ dari jumlah keuntungan sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal. 

 

Kadar keuntungan Ihsan-i adalah sangat kompetitif berbanding dengan kadar Pembiayaan Peribadi yang sedia ada.

 

MBSB Bank berkata, pihaknya telah menerima 108,284 permohonan Ihsan-i setakat 8 Mei 2023 dan daripada jumlah itu, permohonan yang layak adalah sebanyak 49,130 dan 27,202 permohonan telah diluluskan dengan nilai keseluruhan pembiayaan berjumlah RM561 juta.

 

Katanya, keseluruhan proses Ihsan-i daripada peringkat permohonan ke peringkat pengeluaran pembiayaan telah dilakukan sepenuhnya secara dalam talian tanpa perlunya pemohon hadir ke cawangan MBSB Bank. 

 

Bagi permohonan Ihsan-i yang tidak berjaya, ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti pemohon berstatus muflis dan Nisbah Khidmat Hutang yang tinggi.

 

"Bagaimanapun, MBSB Bank mengambil maklum bahawa terdapat pemohon yang berstatus muflis telah menerima kelulusan disebabkan oleh jumlah permohonan yang diterima sangat tinggi dalam tempoh masa yang singkat yang membawa kepada berlakunya keralatan sistem. 

 

"Pemohon-pemohon tersebut pula telah membuat pengisytiharan yang mereka bukan muflis ketika membuat permohonan dan demi kepentingan pemohon berkenaan, MBSB Bank tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap jumlah pembiayaan Ihsan-i yang telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka. 

 

"Status Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka juga tidak akan terjejas," katanya. - DagangNews.com