KUALA LUMPUR 23 Dis - ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik harian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan meningkat sebanyak 165,000 kenderaan iaitu peningkatan 65% dari aliran trafik harian biasa, bagi tempoh 23 hingga 27 Disember 2022.
Manakala, sejumlah 70,000 kenderaan iaitu peningkatan sebanyak 63% pula akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pada tempoh tersebut.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, pengendali kedua-dua lebuh raya itu telah mempertingkatkan tahap kesediaan menghadapi jangkaan peningkatan kenderaan sempena musim cuti akhir tahun ini.
Beliau berkata, pada masa sama pengguna disarankan mengikuti Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan demi keselesaan mereka.
Jelasnya, pematuhan terhadap TTA dapat memberikan impak positif dalam mengurangkan kesesakan di Lebuhraya KLK dan LPT1.
"Memandangkan musim cuti panjang ini berlaku serentak dengan musim tengkujuh yang melanda negara, pihak syarikat telah meningkatkan operasi pemantauan di semua lokasi yang berpotensi terjejas dengan banjir.
"Ia termasuk memastikan aset-aset dan para petugas kecemasan bersiap siaga menghadapi sebarang kejadian kecemasan demi tahap keselamatan para pengguna terpelihara di sepanjang lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radzimah berkata, pihaknya juga telah menambah jumlah tenaga kerja sokongan di plaza tol, serta menempatkan anggota-anggota RELA di kawasan-kawasan strategik disepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik di sepanjang tempoh tersebut.
“Kami juga menasihati para pengguna untuk memandu secara berhemah, serta berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah bila perlu.
"Patuhi saranan papan tanda jalan dan had laju yang telah ditetapkan serta arahan petugas lebuhraya demi keselamatan semua," katanya.
Tambahnya, para pengguna diingatkan untuk memastikan baki e-dompet, kad Touch N’Go atau SmartTag mencukupi sebelum memulakan perjalanan demi memastikan kelancaran perjalanan mereka serta mengelak sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi di plaza tol.
Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, sila ikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).
Untuk sebarang kecemasan, sila hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88-7752. - DagangNews.com








