AmInvestment optimis dengan prospek MISC, harga sasaran dinaikkan kepada RM8.11 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment optimis dengan prospek MISC, harga sasaran dinaikkan kepada RM8.11 sesaham

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Nov - AmInvestment Research menyemak naik nilai wajar MISC Bhd. kepada RM8.11 daripada RM7.99 sesaham sebelum ini dengan saranan 'beli' dikekalkan. 

 

Sejajar dengan semakan itu, ia menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23 sebanyak 4 hingga 5%. 

 

Ia mengambil kira pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen perkapalan petroleum dan produk di tengah-tengah peningkatan kadar pengangkutan kapal tangki.

 

Segmen perkapalan petroleum dan produk menjadi penyumbang pendapatan utama kumpulan, merangkumi 46% daripada keuntungan sebelum cukai dan faedah (EBIT) bagi suku ketiga, diikuti segmen aset & penyelesaian gas (34%) dan perniagaan luar pesisir (18%).

 

"Keuntungan bersih teras MISC bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 sebanyak RM1.45 bilion adalah melebihi jangkaan kami, merangkumi 87% daripada keuntungan bersih FY22 92% unjuran konsensus," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 


Baca : Keuntungan MISC melonjak sekali ganda kepada RM820.6 juta pada suku ketiga

 

 

Untung bersih MISC Bhd. meningkat lebih sekali ganda kepada RM820.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM401 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Prestasi lebih baik itu didorong pendapatan lebih tinggi pada suku berkenaan meningkat kepada RM3.61 bilion daripada RM2.69 bilion dipacu hasil lebih tinggi daripada semua segmen.

 

Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, MISC merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah, susut kepada RM1.18 bilion daripada RM1.37 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM9.69 bilion daripada RM7.59 bilion.

 

Menurut AmInvestment, prospek tempoh jangka pendek hingga sederhana MISC kekal cerah memandangkan rancangan pengembangan armada kumpulan disokong oleh kadar spot yang lebih baik dalam gas asli cecair dan kapal tangki petroleum.

 

"Selain itu, permintaan yang sihat untuk FPSO juga menyokong prospek kumpulan di tengah-tengah kenaikan harga minyak, dengan aset dan penyelesaian gas menikmati margin EBIT yang kukuh sebanyak 47% dalam tempoh sembilan bulan," katanya. - DagangNews.com