AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Deleum selepas Petronas tarik semula penggantungan anak syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Deleum selepas Petronas tarik semula penggantungan anak syarikat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Deleum Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.02 sesaham selepas Petronas menarik balik penggantungan terhadap anak syarikat tidak langsungnya, Deleum Technology Solutions Sdn Bhd (DTS).

 

Firma itu positif dengan langkah tersebut kerana ia membolehkan DTS mewujudkan semula hubungan perniagaan yang mampan dengan syarikat minyak dan gas negara itu, sekali gus meningkatkan prospek penambahan nilai kontrak dalam tempoh jangka pendek.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 kerana kerana ia sudah mencerminkan potensi peningkatan pendapatan dalam segmen penyelesaian kakisan bersepadu.

 

"Ini memandangkan peningkatan aliran kerja yang berurutan daripada Petronas berikutan penyelesaian isu tadbir urus korporat yang tidak menguntungkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, DTS yang sebelum ini dikenali sebagai Deleum Primera Sdn. Bhd. menerima surat daripada Petronas yang menyatakan penarikan semula penggantungan berkuat kuasa 12 Disember 2022.

 

Petronas telah menggantung DTS daripada menyertai sebarang tender dan kontrak pada Mac 2021 susulan penemuan isu tidak beretika dan integriti yang dikaitkan dengan kerja di bawah operasi Petronas Carigali Sdn. Bhd.

 

Selepas penarikan semula penggantungan itu, DTS juga dikehendaki mengemukakan permohonan untuk memperbaharui lesennya untuk tempoh setahun selaras dengan keperluan pelesenan dan pendaftaran Petronas.

 

DTS terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan pemeriksaan kakisan dan pengurangan untuk industri minyak dan gas.

 

Setakat 12.12 tengah hari, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.56% kepada 88.5 sen dengan 388,700 saham diniagakan. - DagangNews.com