AmInvestment jangka Top Glove alami kerugian tiga suku berturut-turut pada FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment jangka Top Glove alami kerugian tiga suku berturut-turut pada FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Okt - Top Glove Corp. Bhd. dijangka mencatat kerugian berturut-turut dalam tiga suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) dengan momentum yang semakin berkurangan sebelum kembali pulang modal menjelang suku keempat apabila aktiviti penyimpanan bekalan mulai meningkat.

 

Menurut AmInvestment Bank Research, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu memberi panduan bahawa kadar penggunaannya akan mencapai pulang modal pada 60% di bawah senario harga jualan purata (ASP) antara AS$23.5 hingga AS$24.5 per 1,000 keping.

 

Katanya, kadar penggunaan Top Glove pada September mencecah 36% hampir memenuhi pesanan pada Oktober (berbanding 35% pada suku keempat FY22) di sebalik kenaikan 5% ASP pada Oktober.

 

"Bagaimanapun, keseluruhan ASP pada September mampu kekal pada AS$24, terutamanya disokong oleh permintaan kukuh bagi sarung tangan pembedahan. 

 

"Kenaikan 5% ASP pada Oktober pula membolehkan Top Glove mencapai ASP pada AS$25. Namun begitu, kami mengekalkan pandangan bahawa peningkatan ASP kumpulan mungkin tidak mampan ekoran kadar penggunaan yang rendah dalam industri," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Top Glove

 

 

Top Glove pertama kali mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM42 juta pada suku keempat FY22, sejak pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2001.

 

Prestasi mencabar yang dicatatkan pada suku keempat itu disebabkan kesan normalisasi industri sarung tangan dengan jualan suku tahun dikaji menguncup sebanyak 27 peratus tahun ke tahun.

 

Pada suku berkenaan juga, Top Glove meraih pendapatan RM990 juta, susut ketara berbanding RM2.07 bilion yang dicatatkan suku sama tahun sebelumnya.

 

Bagi FY22, Top Glove meraih pendapatan RM5.6 bilion berbanding RM16.4 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021 manakala untung bersih juga merosot dengan ketara kepada RM292.2 juta daripada RM7.8 bilion. 

 

AmInvestment bagaimanapun menjangkakan aktiviti penambahan stok sarung tangan getah akan kembali meningkat pada pertengahan 2023.

 

Ini kerana katanya, paras stok sarung tangan getah bagi pelanggan akhir Top Glove telah melepasi paras kemuncaknya walaupun berada pada paras tinggi antara enam hingga tujuh bulan ketika Pameran Persidangan Sarung Tangan Getah Antarabangsa 2022, September lalu.

 

"Tetapi, kadar penggunaan kumpulan telah menurun daripada 52% pada suku kedua kepada 35% pada suku keempat FY22 di tengah-tengah inventori pelanggan akhir yang sedang meningkat, yang bagi kami adalah tidak munasabah.

 

"Top Glove mengaitkannya dengan pelepasan inventori daripada pembuat sarung tangan yang lebih kecil yang keluar daripada industri dengan menawarkan ASP sangat rendah. 

 

"Selain itu, kami juga percaya harga kompetitif daripada pembuat sarung tangan China menyumbang kepada kadar penggunaan yang rendah," jelasnya.

 

 

Top Glove

 

 

Menurutnya, ketika ini pengeluar China menjual sarung tangan getah nitril pada harga AS$15 per 1,000 keping (tidak termasuk 7.5% tarif dari Amerika Syarikat), iaitu pengurangan 25% kepada ASP sarung tangan nitril Malaysia sebanyak AS$20 pada September.

 

"Kami berpendapat pengurangan sebegini membolehkan pembuat sarung tangan dari China memperoleh lebih banyak bahagian pasaran dari Malaysia dan mengekalkan kadar penggunaan negara yang rendah dalam tempoh tiga suku akan datang," katanya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Top Glove dengan nilai wajar tidak berubah pada 60 sen sesaham. 

 

Katanya, saham Top Glove pada masa ini didagangkan pada nilai perusahaan FY24 sebanyak 31x, setara dengan median sebelum pandemi FY18-FY19. 

 

"Bagaimanapun, kami percaya ia kekal dinilai sepenuhnya memandangkan ketidakpastian ASP yang berterusan dan peningkatan kos tanpa henti dalam tempoh 3 suku tahun akan datang. Kumpulan juga  tidak menawarkan sebarang hasil dividen pada FY23," jelasnya.

 

Setakat 11.10 pagi ini, harga saham Top Glove susut 2 sen atau 2.96% kepada 65.5 sen dengan 46.8 juta saham diniagakan. - DagangNews.com